SEMPENA sambutan Maulidurasul semalam, Imaan Music, sebuah label muzik berteraskan lagu Islamik kontemporari melancarkan karya terbaharunya berjudul Salawat 1442 pada 27 Oktober lalu.

Salawat 1442 menyaksikan gabungan tiga jiwa berbeza iaitu pendakwah bebas, Datuk Kazim Elias bersama salah seorang anggota kumpulan K-Clique, Tuju dan rapper, Tyco.

Objektif lagu ini adalah bertujuan untuk membawa kelainan dalam muzik dakwah yang mana konsepnya disifatkan sebagai “relaxing style”.

Dilihat sebagai sebuah rilisan eksklusif terbitan Imaan Music, bersama komposer dan penulis lirik Tuju, Neo, dan Almanjawi, buat pertama kalinya, orang ramai dapat mendengar suara Ustaz Kazim menyanyi secara profesional dari dalam studio rakaman dengan unsur rap oleh Tuju dan Tyco.

Pertama kali mengambil bahagian dalam proses rakaman lagu, Ustaz Kazim berkata, biasanya orang ramai melihat beliau menyanyi ketika berceramah.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan yang diberikan Datuk Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu sempena Maulidurasul bersama dua ahli rap, iaitu Tuju dan Tyco.

“Salawat 1442 ini, diharapkan dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh rona kehidupan,” ujarnya.

Mengenai elemen rap dalam Salawat 1442, Tuju berkata, lirik lagu rap yang disampaikan ini adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan dalama mana-mana karya sebelum ini.

“Melalui Salawat 1442, saya berupaya meluahkan perasaan saya dengan lebih jelas sekaligus berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya yang dulu hingga kini, dalam usaha saya menjadi insan yang lebih baik.

“Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya dalam menghasilkan muzik, ini adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar.

“Diharapkan mesej yang saya cuba sampaikan dalam Salawat 1442 dapat difahami dan diterima oleh semua,” jelasnya.

Iklan

Tyco yang sudah 12 tahun ‘menghilang’ dari industri muzik, melihat penglibatannya dalam Salawat 1442, sebagai sesuatu yang berbeza.

“Kali terakhir saya buat penampilan adalah dalam filem Cicakman 2 iaitu pada tahun 2008. Walaupun konsep lagu dibawakan kali ini berbeza berbanding dengan karya-karya TYCO terdahulu, saya tetap harapkan karya kali ini dapat memberi impak,” katanya.

Iklan