BERKONGSI misi sama untuk sentiasa memberi kelainan dalam karya dihasilkan, dua penyanyi yang sedang mencipta nama, Wany Hasrita dan Wani Syaz sepakat berkolaboratif menerusi single pop etnik berjudul Sang Purnama.

Kerjasama tersebut menjadi lebih lancar apabila dua sahabat baik itu pernah bergandingan sebelum ini dan saling memahami kehendak muzik dan kemampuan masing-masing.

Teruja dengan karya terbaharu itu, Wany Hasrita, 30, mengakui sudah memberikan yang terbaik demi memastikan lagu tersebut dapat diterima ramai, sekali gus berkongsi mesej yang dibawakan.

“Sebagai penyanyi, sudah tentu saya mahu menghasilkan karya yang bagus untuk dikongsi dengan semua peminat dan penggemar muzik tanah air.

“Jadi sebaik sahaja mendapat lagu ini, saya terus menghayati bait-bait lirik dan mendengar melodinya beberapa hari sebelum masuk ke studio rakaman sebagai persediaan.

“Untuk genre pop etnik ini, saya membuat rujukan dengan mendengar lagu-lagu Noraniza Idris dan Datuk Siti Nurhaliza, selain Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini,” ujarnya.

Dalam masa sama, penyanyi yang mula dikenali menerusi single Menahan Rindu itu berkata, dia bagaimanapun akan sentiasa mengekalkan identiti sendiri.

“Rujukan tersebut dijadikan panduan di mana saya cuba terapkan dalam lenggok nyanyian saya. Memang susah tetapi sebagai anak seni saya kena rajin jika mahu majukan diri.

“Ingatkan saya seorang sahaja yang buat begitu, tetapi rupa-rupanya Wani Syaz juga menggunakan pendekatan sama.

“Single ini sangat istimewa, jadi kami mahu pastikan ia menjadi satu karya yang boleh dibanggakan,” katanya.

Kisah percintaan agung

Sang Purnama terbitan FMC Music merupakan hasil ciptaan Sang Hitam, Mas Dewangga dan Aden King, manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh Sang Hitam.

Iklan

Ia diilhamkan daripada kisah percintaan agung Nabi Adam A.S dan Siti Hawa. Namun ceritanya lebih memfokuskan tentang gambaran luahan perasaan Siti Hawa.

Bagi Wani Syaz, 25, pula, karya terbabit sangat menyentuh hatinya sehingga mengalirkan air mata ketika proses rakaman berlangsung.

“Pertama kali saya menangis dalam studio. Sang Hitam dan Abang Lan Laga yang ditugaskan untuk menjaga vokal ketika rakaman itu terkejut kerana saya gagal mengawal emosi sehingga terpaksa menghentikan nyanyian.

Iklan

“Malu pun ada, tapi ketika itu saya memang sudah tidak dapat menahan perasaan. Vokal saya bergetar ketika menyampaikan lirik ‘kerna sedalam-dalam rindumu akhirnya bertaut semula’.

“Jika dihayati lirik lagu ini betul-betul, kita akan rasa sayu kerana ia bercerita tentang gambaran perasaan Siti Hawa sewaktu berpisah dengan Nabi Adam A.S. Itu yang buat saya tersentuh dan tak tahan untuk menangis,” katanya.  

Single Sang Purnama telahpun dilancarkan pada 21 Januari lalu dan kini boleh didengari menerusi semua platform muzik digital. Sementara muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube FMC Music.