GELARAN ‘Oppa Malay’ yang diberikan kepada penyanyi berusia 26 tahun ini ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam kerjaya nyanyiannya.

Tidak hanya dari segi penampilan, Meer Nash turut memanfaatkan gelaran itu dengan mula berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu apabila menghasilkan single berjudul Saranghae yang mengetengahkan muzik dan elemen K-pop.

Bagi Meer Nash atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul single Saranghae terbitan Universal Music Malaysia (UM) yang dilancarkan pada 18 Jun lalu adalah percubaan dan pertaruhan pertamanya bergelar komposer dan penulis lirik secara serius.

Malah pengalaman itu adalah sesuatu yang berharga buat diri dan kerjayanya kerana apa diinginkan selama ini dapat diterjemahkan dalam lagu itu.

“Saranghae ini adalah hasil karya saya sendiri. Kalau ikutkan, lagu ini bukan lagu pertama saya. Sebelum ini saya pernah tulis beberapa lagu, tapi berasakan belum cukup bagus untuk diketengahkan. Namun, apabila saya menulis lagu ini, saya rasa boleh dikomersialkan.

“Saya masukkan elemen Korea kerana selepas ICYVMY orang mula panggil saya Oppa Malay.

“Jadi saya nak gunakan identiti yang diberikan itu. Berdasarkan penampilan saya, keputusan masukkan elemen K-pop dalam lagu ini sedikit sebanyak menjawab persoalan itu,” katanya.

Meer Nash mula mendapat gelaran Oppa Malay ketika menyertai ICYVMY tahun lalu.

Berkongsi proses pembikinan lagu Saranghae, Meer Nash berkata, melodinya dihasilkan terlebih dahulu.

“Saya tulis melodi dulu yang memang ada bunyi muzik K-pop, dari situ idea muncul untuk lirik dan keseluruhan lagu ini.

“Daripada melodi pertama lagu ini, saya sudah tahu lirik apa yang sesuai. Saya mahu buat lagu ini seperti lagu-lagu lama Justin Bieber yang memuja dan memujuk wanita,” katanya.

Tambah Meer Nash, dia juga menyasarkan kelompok peminat muzik K-pop kerana yakin lagu Saranghae mudah diterima.

“Sasaran saya untuk lagu ini adalah peminat K-pop. Jadi, gelaran ini saya nak gunakan sebaiknya. Baik dari segi pakaian, mekap dan muzik itu sendiri. Jadi, itu hala tuju saya ketika ini.

Iklan

“Saya juga berharap peminat muzik di Malaysia suka. Lagu ini sebenarnya mesra telinga apatah lagi melodi sangat mudah diingati.

“Sebenarnya saya cabar diri untuk menghasilkan lagu ini. Sebelum ini saya tak percaya boleh hasilkan lagu, tapi untuk kali ini saya cuba keluar dari zon itu dan berjaya buat,” jelasnya.

Ditanya adakah dia bersedia menerima kecaman dan kritikan atas usaha beraninya itu, Meer Nash berkata, apabila membuat keputusan untuk menjadi artis, dia sudah maklum pasti ada yang tidak menyukainya.

“Apabila saya membuat keputusan menjadi artis, saya sudah tahu, mesti ada yang suka dan sebaliknya.

Iklan

“Malah sebelum ini ada yang pernah tunjuk jari tengah dan kata muka saya macam tapak kaki Jimin (ahli kumpulan BTS dari Korea Selatan), tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya,” ujarnya.

Saranghae kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash.