“Satu badan rasa sakit macam tulang semua dipatah-patahkan,” Mimi Lana kongsi pengalaman dijangkiti Covid-19
PELAKON Mimi Lana mendedahkan dirinya dijangkiti Covid-19 dengan simpton yang agak teruk sejak lima hari lalu.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, pemilik nama sebenar Mimi Rozaina Zainal Abidin, 26, berkata, dia mengalami sakit pada seluruh badan dan pelbagai simpton lain termasuk berdepan detik cemas apabila tahap oksigen dalam badannya menurun pada 85 peratus (%).
“Satu badan rasa sakit macam tulang semua dipatah-patahkan sampai tak tahu nak duduk posisi macam mana. Sejuk menggigil, kahak berdarah, berpeluh-peluh sampai sesak nafas yang sangat teruk.
“Paling teruk apabila kadar oksigen menurun sehingga 85% dua hari lalu. Saya panik dan hubungi banyak hospital, namun kebanyakan dah penuh.
“Sekarang ini memang kes sangat banyak dan mereka tak dapat terima pesakit sebab katil dah penuh. Cuma ada sesetengah hospital yang terima untuk buat rawatan oksigen sahaja, itupun kalau betul-betul kecemasan,” kongsinya.
Bagaimanapun, bintang drama Hati Yang Tersakiti itu memaklumkan keadaan dirinya kini semakin baik berbanding sebelum ini.
“Sekarang baru saya faham bertapa sakit dan susahnya nak uruskan penyakit ni. Saya dah banyak kali jadi kontak rapat, tetapi tidak pernah dijangkiti. Cuma kali ini nasib tak menyebelahi saya.
“Apa-apa pun alhamdulillah saya rasa bertambah baik hari ini. Cuma masih ada batuk, sakit tekak dan selsema sedikit.
“Harapnya, saya akan sembuh sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya yang turut menitipkan pesan agar semua orang sentiasa menjaga diri dan patuh SOP.
(FOTO: INSTAGRAM MIMI LANA)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang