PERKONGSIAN pelakon popular, Zul Ariffin mengikuti pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim atau Ebit Lew keluar berdakwah telah menarik perhatian ramai.

Namun berbeza dengan beberapa selebriti lain yang terbuka berkongsi penghijrahan mereka ke arah lebih baik, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin mempunyai pandangan berbeza.

Jelas Zul, perkongsian tentang perkara itu bukan untuk menjadikan ia kisah sensasi tetapi sekadar kenangan kepada sebuah pengalaman.

“Penghijrahan yang saya lakukan adalah dari segi rohani. Kebetulan saya ada banyak masa senggang kerana tidak dapat keluar bekerja seperti kebiasaannya.

“Jadi saya terfikir untuk mengikuti Ustaz Ebit keluar berdakwah dan mengikuti program bantuan.

“Beliau banyak berkongsi cerita-cerita yang baik, jawab persoalan saya dan solat jemaah bersama, itu sahaja. Tidak ada apa yang perlu disensasikan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penunggang Agama 2 secara maya, pada Rabu.

Ditanya adakah dia akan lebih selektif dan terbatas dalam dunia lakonan selepas mendalami ilmu agama, Zul mengakui masih berusaha mengubah diri secara perlahan-lahan.“Sudah ada yang bertanya, sama ada saya akan terus berlakon atau tidak selepas ini. Pertamanya saya akan kawal lidah dahulu.

“Saya tidak mahu seronok bercakap dan akhirnya tidak akan mengotakan kata-kata saya. Sedikit demi sedikit saya akan berusaha mengelak atau mengubah diri saya,” jelasnya.

Kisah realiti

Dalam pada itu, bercakap tentang isu penunggang agama, jejaka berusia 35 tahun itu mengakui wujud individu seperti gambaran pengarah, Syafiq Yusof dalam kehidupan seharian.

Iklan

“Saya rasa, orang akan berjumpa penunggang agama sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Ketika mula membawakan watak Amir dalam Penunggang Agama 2 ini, saya agak ragu-ragu juga dengan sikapnya. Tetapi ia realiti dan orang sebegini memang wujud.

“Oleh sebab itu kita harus tunjuk perangai yang baik. Orang bukan Islam, mereka tak baca al-Quran, sebaliknya, mereka (orang bukan Islam) baca perangai kita (orang Islam).

Iklan

“Pacak tripod rakam tengah sembahyang, itu bukan saya. Senang cerita, jangan pergunakan agama untuk kepentingan sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai wataknya dalam Penunggang Agama 2, Zul berkata, karakter Amir kali ini lebih mencabar kerana dia pula yang berubah ke arah negatif.

“Kalau dalam Penunggang Agama, kita akan nampak hitam dan putih, watak baik dan jahat. Tetapi dalam Penunggang Agama 2 ini berbeza,” katanya.