PENERBIT, pengarah dan pelakon, Erma Fatima mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di akaun Instagramnya baik mengelakkan perbalahan berterusan di kalangan warganet.

Jelas Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 53, tujuan asalnya terlibat dengan platform media sosial itu adalah untuk berkongsi sesuatu yang positif.

“Saya nak minta ampun dan maaf kepada semua kerana saya terpaksa tutup semua komen-komen yang ada dalam saya punya Instagam.

“Balik kepada niat saya untuk membuka Instagram saya ini adalah untuk berseronok, bergembira, berkongsi nilai positif.

“Saya merasakan bahawasanya sejak kisah Carl ini terlalu banyak bermaki-makian ke atas platform saya dan saya tak rasa itu satu ‘vibe’ yang bagus. Itu satu toksik, saya rasa.

“Saya juga tak perlukan orang-orang yang nak bermaki-makian dan menggalakkan orang lain pula sambung maki. Jadi, itu satu benda yang saya tak berapa berminatlah.

“Lagipun isu Carl ini saya tak perlu viral pun. Dah tua nak mati begini, rumah kata pergi, kubur kata mari. Dah tak ada masa saya nak fikir pasal viral,” katanya.

Terdahulu, Instagram Erma menjadi ruang perbalahan dan dihujani komen maki hamun selepas dia menyatakan sokongan kepada usahawan, Carl Samsudin yang terpalit kontroversi apabila bertindak biadap terhadap gelandangan warga emas baru-baru ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ermafatima (@ermafatima)

Iklan

Dalam pada itu, Erma menyifatkan setiap individu memiliki hak dan prinsip masing-masing. Namun beliau kecewa dengan komen yang ditinggalkan oleh anak bangsanya sendiri.

“Anda ada prinsip anda sendiri, saya ada prinsip saya sendiri dan saya tidak menggunakan bahasa-bahasa yang tidak baik untuk bercakap dengan anda.

Iklan

“Begitu juga Carl tidak menggunakan bahasa yang tidak baik. Jadi, peradaban dia mungkin sedikit kasar, tapi masing-masing ada prinsip masing-masing.

“Ya betul. Saya akui saya koyak, rabak. Koyak rabak tengok anak bangsa saya yang kononnya bercerita tentang adab tapi peradaban dia dalam media sosial, nauzubillah.

“Jadi saya minta maaf. Untuk seketika ini, kita tutup dulu komen,” katanya.