BERKAT kerja keras dan kesungguhannya berbudi pada tanah, penyanyi Ayu Damit kini mampu berbangga apabila tanaman cili yang diusahakan bersama suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin sejak enam tahun lalu, kini membuahkan hasil lumayan.

Kini pemilik nama lengkap Norayu Damit, 34, itu menjadi antara pengusaha tanaman cili yang berjaya menerusi tanaman seluas empat ekar, di Ulu Langat, Selangor.

Bagaimanapun penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu menolak anggapan yang mengatakan dia kini sudah bergelar jutawan dalam bidang pertanian.

“Bila orang kata saya sudah bergelar jutawan hasil daripada tanaman cili dan bisnes dalam pertanian yang diusahakan ini, saya aminkan saja dan anggap ia sebagai doa.

“Saya belum lagi sampai ke tahap itu, tetapi bersyukur dengan apa yang kami peroleh berkat usaha keras yang dicurahkan selama ini.

“Insya-ALLAH masih banyak perancangan sedang diatur untuk memajukan lagi perniagaan itu dengan mempelbagaikan hasil pertanian sedia ada,” katanya yang ditemui pada sidang media Fieasta Citarasa Sambal di KL Gateway Mall, Bangsar South pada Rabu.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, dia juga pernah berdepan pelbagai cabaran yang menguji diri terutamanya pada awal penglibatannya dalam bidang tersebut.

“Sebelum cili, saya pernah mengusahakan tanaman kelapa dan nenas. Namun ia tidak begitu menjadi sehinggakan saya mengalami kerugian yang agak besar. Ketika itu memang banyak jugalah saya laburkan wang simpanan.

“Bila kenangkan duit yang ‘hangus’ itu, rasa nak menangis jugalah. Bagaimanapun kalau kita tak cuba, kita tidak akan tahu dan belajar sesuatu. Atas dorongan suami, saya cuba untuk tidak berputus asa.

“Walaupun berdepan cabaran, kita lalui sama-sama. Bila modal pusingan tak cukup, saya tampung dengan duit show dan alhamdulillah kini kami sudah mampu menarik nafas lega,” ujarnya.

Selain cili, Ayu juga mengusahakan beberapa tanaman lain seperti timun, terung dan kacang panjang, selain durian yang bakal memberikan hasil beberapa tahun lagi.

Kongsi hasil pertanian

Berkongsi penglibatannya dalam Fieasta Citarasa Sambal yang bakal berlangsung selama tiga hari di KL Gateway Mall, Bangsar South, bermula 10 Mac depan, bintang kelahiran Sabah itu teruja untuk turut sama berkongsi hasil pertanian yang diusahakan dengan pengunjung yang hadir kelak.

“Atas permintaan penganjur saya akan bawa hasil cili yang saya usahakan, selain cili padi putih dari Sabah untuk diketengahkan pada acara itu.

Iklan

“Saya harap acara itu akan mendapat sambutan ramai dan kita sama-sama sokong produk pertanian,” katanya.

Ayu (lima dari kiri) ketika majlis sidang media Fiesta Citarasa Sambal di KL Gateway Mall, Bangsar South Rabu lalu.

Meski sibuk dengan perniagaan, penyanyi yang mula dikenali selepas bergelar juara program One In A Million itu tidak pernah berhasrat meninggalkan bidang nyanyian.

Malah Ayu baru sahaja tampil dengan single Kejam, sebuah karya ciptaan Khairul Daniel, manakala lirik ditulis dirinya sendiri bersama Slen dan Jay.

“Walaupun sibuk dengan pertanian, saya masih tetap aktif dalam bidang nyanyian. Dengan adanya single baharu ini, saya berharap agar dapat terus kongsi karya dengan peminat.

Iklan

“Malah selepas 15 tahun dalam industri, saya juga berharap dapat mengadakan showcase istimewa buat peminat.

“Saya tidak mahu berjanji, tetapi berharap ada rezeki untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Asasi Seni Kreatif (Vokal Klasikal) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.