LEBIH sedekad melalui fasa jatuh bangun dalam kerjaya seni, selebriti versatil, Shiha Zikir kini mampu menarik nafas lega apabila segala usaha yang lakukan sebelum kini semakin membuahkan hasil.

Pernah kehadirannya dalam indusri seni sebelum kini seakan tidak dipedulikan, pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir ini tidak melihat situasi tersebut sebagai suatu perkara yang mampu menghalang dirinya daripada terus melangkah ke depan.

Berkat usaha dan kesungguhan yang tidak pernah mengenal erti putus asa, nama dan bakat beliau semakin mendapat tempat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan apa yang dimiliki kini dan sentiasa percaya rezeki akan sampai apabila tiba waktu yang ditetapkan.

“Apa yang pasti, saya berusaha melakukan yang terbaik dalam apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sepanjang berada dalam industri.

“Kejayaan hari ini adalah bertitik-tolak daripada segala perit jerih yang pernah dilalui sebelum ini,” ujarnya kepada SinarPlus.

Jika pada awal kemunculannya fokus Shiha hanya kepada nyanyian, tetapi beliau kini turut aktif dalam bidang lakonan, pengacaraan, malah semakin diterima dalam lawak komedi. Pendek kata, apa sahaja yang dilakukan kini menjadi dan diterima ramai.

Malah penyertaan wanita berusia 34 tahun itu dalam program Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3) baru-baru ini juga menyaksikan beliau menjadi antara peserta kegemaran ramai, selain dipilih pihak juri untuk dinobatkan sebagai Superstar Paling Gempak di pentas akhir program tersebut.

“Sejujurnya saya memang tidak terfikir langsung akan dipilih sebagai Superstar Paling Gempak kerana sedar setakat mana kemampuan saya dalam program tersebut.

“Saya masuk MLS bukan kerana mahu menjadi pelawak, tetapi lebih kepada tarikan muzikal yang menjadi sebahagian daripada elemen program itu.

“Bila bersama-sama dengan barisan pelawak hebat dalam program ini, saya secara tidak langsung meminjam semangat mereka dan cuba melakukan yang terbaik.

“Apabila juri melihat usaha itu dan menobatkan saya sebagai pemenang kategori tersebut, semestinya saya rasa terharu dengan kepercayaan mereka itu dan anggap ini sebagai rezeki,” katanya yang turut bergelar naib juara MLS3 bersama kumpulan Cili yang turut dianggotai oleh Achey dan Ali Puteh.

Bukan pelawak

Meskipun begitu, Shiha menepis anggapan warga maya yang menganggap beliau kini mahu berjinak-jinak dalam bidang komedi. Apatah lagi melihat kepada kejayaan Elly Mazlein yang kini tampil dengan pendekatan berbeza berbanding apa yang pernah diperlihatkan sebelum ini.

“Sekali lagi saya nak tegaskan, saya bukan mahu jadi pelawak kerana kemampuan saya tidak terarah ke situ. Apatah lagi sepanjang menyertai MLS3, saya tahu betapa susahnya nak buat konten lawak dan menghiburkan orang ramai.

Iklan

“Bukan mudah saya nak bawa pelbagai karakter di pentas MLS3 itu. Ada ketika saya rasa sangat malu dan segan nak buat, tetapi disebabkan saya seorang fighter, saya tebalkan muka demi tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan.

“Mungkin kerana karakter saya yang nampak ‘gila-gila’ menyebabkan orang nampak saya terarah kepada komedi. Hakikatnya saya hanya mahu menjadi penghibur serba boleh,” ungkap pemenang Artis Top Top MeleTOP (wanita), Anugerah MeleTOP Era 2022 itu lagi.

Shiha bersama bersama Ali Puteh (kiri) dan Achey ketika diumumkan sebagai naib juara MLS3.

Dalam perkembangan lain, pengacara program Terpaling Juara itu berkata, beliau menangguhkan seketika rilisan single terbaharunya sebelum ini kerana sibuk di set penggambaran drama.

“Sejak akhir-akhir ini jadual kerja penuh dengan aktiviti penggambaran menyebabkan saya terpaksa menangguhkan seketika hasrat melancarkan single baharu, meskipun rakaman sudah siap dilakukan.

“Ini kerana saya mahu fokus kepada satu-satu perkara yang saya lakukan tanpa mengabaikan yang selainnya. Jadi tidak perlu tergesa-gesa lancarkan single, sedangkan saya tengah sibuk dengan lakonan.

Iklan

“Apatah lagi saya juga akan terlibat dengan sebuah pementasan teater tidak lama lagi,” jelasnya.

Bagaimanapun, bintang asal Pulau Pinang itu menegaskan minat dan keutamaan beliau tetap kepada bidang nyanyian berbanding cabang seni lain yang diceburinya.

“Minat dan jiwa saya tetap pada nyanyian. Cuma saya suka mencuba dan belajar pelbagai perkara untuk mengutip pengalaman sebanyak mungkin,” akhirinya.

(FOTO: INSTAGRAM SHIHA ZIKIR & AZRUL RAFIE – ASTRO)