TIADA yang lebih menyedihkan apabila insan yang kita sayangi pergi buat selamanya. Namun siapa kita untuk menidakkan segala ketentuan ALLAH SWT.

Begitulah yang dirasai oleh pelawak dan usahawan, Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad, 37, setelah isteri tercinta, Siti Sarah Raissuddin, 37, pulang ke negeri abadi jam 5.13 pagi Isnin.

Shuib bagaimanapun reda dan berlapang dada menerima ketentuan bahawa sudah sampai masa isterinya kembali ke pangkuan ALLAH.

Menurut Shuib, dia masih teringat pandangan Sarah ketika kali terakhir ditinggalkan di katil Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada petang Rabu itu.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah ketika saya menghantarnya ke hospital pada petang Rabu. Kali terakhir saya pandang masa dia duduk di atas katil dan terpaksa tinggalkan dia di situ.

“Kemudian bila saya jumpa dia balik, dia sudah tutup mata buat selamanya.

“Apa pun saya cukup yakin dan pasti, dia adalah bidadari syurga saya,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham di bawa keluar dari HCTM kira-kira jam 12.13 tengah hari. (Foto : Azrul Rafie)

Ditanya kata-kata terakhir arwah sebelum ditidurkan, Shuib memberitahu, Siti Sarah hanya berkata dia ketakutan.

“Dia cakap dia takut. Tetapi saya tahu, dialah orang yang paling kuat, manusia yang paling kuat, paling baik hatinya.

“Banyak pelajaran yang saya dapat daripada apa yang berlaku sekarang ini. Pesanan saya untuk lelaki, terus hargai isteri anda,” katanya menahan sebak.

Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Sg Pusu kira-kira setengah jam kemudian dan orang ramai sudah mula memenuhi sekitar tanah perkuburan sejak jam 12 tengah hari lagi.

Shuib turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan Siti Sarah sejak arwah dimasukkan ke hospital.

“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersusah payah, yang adakan masa, usaha untuk isteri saya, sepanjang dia dimasukkan ke hospital.

“Jutaan terima kasih atas usaha solat hajat, bacaan Yasin, sedekah atas arwah isteri saya. Hanya ALLAH dapat membalas budi itu.

“Saya balikkan semua doa-doa baik itu pada anda semua.

“Maafkan isteri saya, sedekahlah al-Fatihah banyak-banyak untuknya,” katanya.

Siti Sarah dikejarkan ke HCTM pada 5 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Antara rakan artis yang membantu urusan pengebumian adalah Rahim R2.

Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pada Jumaat selepas tahap oksigen menurun dan seterusnya menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan, kira-kira jam 5 petang hari sama.

Bagaimanapun, selepas empat hari bertarung nyawa, Allahyarham akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak kira-­kira jam 1.37 petang hari sama.

Terdahulu, Siti Sarah bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Siti Sarah dilahirkan pada 15 September 1984, memulakan kerjayanya dalam bidang nyanyian setelah menyertai Bintang RTM 2001.

Mula meledak dengan lagu hits, Kesetiaan, anak kepada pelakon Raissuddin Hamzah itu beberapa kali menyertai beberapa pertandingan nyanyian lain seperti Bintang URTV 2001.

Antara kejayaan yang pernah diraih anak kedua daripada tiga beradik itu adalah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003.

Siti Sarah juga cemerlang di peringkat antarabangsa apabila menyumbang tiga pingat emas dalam pertandingan World Championship of Performance Arts (WCOPA).

Iklan

Naib juara Gegar Vaganza musim ketiga itu baharu sahaja tampil dengan single duet berjudul Semakin Benci Semakin Cinta bersama suaminya pada Jun lalu.

Sikap pemurah, penyayang

Tidak hanya berbakat besar, personaliti wanita bertubuh genit itu juga begitu disenangi rakan taulan.

Malah sejak berita pemergian­nya diketahui umum, ramai rakan selebriti berkongsi kebaikan Allahyarhamah yang disifatkan pemurah serta penyayang.

Pelakon dan pengacara, Nabila Huda sempat berkongsi momen terakhirnya bersama Siti Sarah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Nabila Huda (@kupu_kupu)

Menurut anak penyanyi rock Amy Search itu, mereka banyak berkongsi cerita termasuk berangan-angan untuk menjalankan perniagaan bersama.

“Kehilangan memang menyakitkan. Nak dijadikan cerita, dah bertahun-tahun kenal, membesar bersama dalam industri tetapi baru tahun ini kami selalu berhubungan.

Iklan

“Kami dapat buka puasa bersama, saya masak dan kami makan sama-sama. Kami kongsi macam-macam cerita dan rancang perniagaan bersama dan Siti Sarah beritahu apa yang dia mahu lakukan.

“Cuma saya ralat kerana tak tahu seluruh keluarga positif dan hanya mengetahui keadaan Siti Sarah selepas Shuib berkongsi videonya berpelukan dengan anak-­anak,” luahnya.

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengakui turut terkejut dengan pemergian Siti Sarah.

Menurut Bella, dia dan Siti Sarah sepatutnya bekerjasama namun impian itu kini hanya tinggal kenangan.

“Ramai betul sayangkan Siti Sarah tetapi tetap tidak dapat ditandingi dengan sayangnya ALLAH SWT.

“Kak Sarah ada offer Bella untuk jadi wajah produk Ratasya sementara kak Sarah rehat berpantang. Rupanya ALLAH lebih sayangkan akak dan bagi akak berehat buat selamanya.

“Seorang wanita, isteri, ibu, anak, sahabat, seniman yang hebat, baik dan berhati mulia. Pemergianmu ditangisi seluruh Malaysia,” katanya.