PENYANYI Loca B kecewa apabila usaha untuk mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia buat anak lelakinya, Yusuf Alexender, 5, tidak menunjukkan perkembangan positif.

Menurut Loca atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali, 29, urusan tersebut sudah lama tertangguh berikutan situasi pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sehingga dua tahun.

Menerusi luahan yang dilakukan di Instagram miliknya pada Selasa, Loca meluahkan kerisauan tentang masa depan Yusuf sekiranya masih belum mendapat kerakyatan.

Apatah lagi selepas anaknya itu mencecah usia 7 tahun, proses permohonan tersebut akan menjadi lebih sukar dan hampir mustahil untuk diperoleh.

“Yusuf akan berusia 6 tahun pada tahun hadapan dan saya risau dengan masa depannya. Saya cuma mahu dia bersama dengan saya. Ia tidak sepatutnya sesukar ini untuk anak saya tinggal dengan saya di negara ini,” ujarnya.

Dakwa Loca, Yusuf sepatutnya mendapat kerakyatan sebaik sahaja dilahirkan kerana dia adalah warganegara, namun sebaliknya berlaku.

Dalam perkongsian sama, Loca berkata, dia berdepan situasi sukar apabila setiap tahun perlu memperbaharui visa untuk Yusuf.

“Ingat murah ke nak buat visa? Kalau terlepas kena bayar RM700 tahu tak? Dulu saya tak ada duit, sakit! Tiap-tiap tahun nak perbaharui kena bayar RM150, masih duit dan masa,” katanya.

Iklan

Penyanyi lagu Gila itu mengharapkan agar masalah tersebut mendapat perhatian pihak berwajib. Apatah lagi visa anak lelakinya itu belum diperbaharui dan akan luput dalam masa terdekat disebabkan operasi pejabat imigresen terhad ketika PKP.

Tidak hanya itu, Loca juga perlu mendapatkan hak penjagaan anaknya menerusi prosedur mahkamah. Bagaimanapun, tarikh perbicaraan ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan Disember.

Iklan

Difahamkan, Yusuf merupakan anak hasil daripada perkahwinan Loca sebelum ini bersama bekas suaminya yang bukan warganegara Malaysia.

Loca kemudiannya berkahwin dengan anggota kumpulan K-Clique iaitu Tuju tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki yang diberi nama Bintang Aiko.