Saya dan anak-anak yakin Siti Sarah akan pulang kepada kami

SITI SARAH - SHUIB SEPAHTU
SITI SARAH - SHUIB SEPAHTU
A
A
A

PELAWAK popular, Shuib Sepahtu mengakui hilang kata-kata apabila doktor memaklumkan paras bacaan oksigen isterinya, Siti Sarah Raissudin merosot dan turun sehingga 40 peratus setakat 8 malam tadi.

Shuib berkongsi perkembangan tersebut selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat secara maya yang turut dihadiri lebih 900 orang, terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan peminat Sarah.

“Sebelum saya masuk ke sesi siaran langsung untuk majlis ini, doktor baru sahaja hubungi saya dan maklumkan keadaan Sarah sangat tidak baik. Saya hilang kata-kata dan tak tahu nak cakap apa.

“Bagaimanapun saya yakin dan pasti selagi belum masanya, insya-ALLAH belum masanya.

“Apatah lagi dengan ramai orang yang mendoakan, saya yakin dia akan pulang kepada saya dan anak-anak.

“Tak kisahlah doktor cakap takap oksigen jatuh ke 40 atau 30 sekalipun, saya yakin  dan anak-anak pun yakin ibu mereka akan pulang ke rumah,” katanya yang seakan gagal menahan emosi.

Dalam masa sama, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, memohon orang ramai agar terus mendoakan yang terbaik buat isterinya.

“Terima kasih banyak-banyak semua. Teruslah mendoakan dia. Insya-ALLAH saya kembalikan doa-doa untuk anda semua juga.

“Ampunkan segala kesalahan dan halalkan makan minum dia. Semoga urusannya dipermudahkan,” ujar Shuib.

Tambah Shuib lagi, dia juga mengharapkan semua yang mengenali Siti Sarah secara rapat dapat memberikan semangat dan sokongan buat isterinya itu dengan bercakap menerusi gambar.

“Sebagaimana yang dikatakan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah tadi, saya harap anda dapat mengambil sedikit masa untuk bercakap dengan Sarah melalui gambarnya.

“Tolonglah beri semangat padanya. Kita tidak tahu apa yang dia tengah fikir dan dia sedang berada di mana.

“Bila bercakap dengannya walaupun melalui gambar, saya harap dia boleh dengar sebab dia memang perlukan sokongan dan semangat,” katanya.

Terdahulu Shuib memaklumkan Siti Sarah berada dalam keadaan kritikal apabila paras bacaan oksigen dalam badannya menurun sehingga 40 peratus selepas 48 jam tidak sedarkan diri.

Sarah terpaksa ditidurkan sejak Jumaat lalu dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan menerusi pembedahan kecemasan pada hari sama dan kini masih bertarung nyawa akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca