PELAKON Raja Farah meluahkan rasa kesal dengan penyebaran sebuah video seorang pelakon lelaki yang bercerita mengenai pengalaman berlakon dengannya beberapa tahun lalu menjadi tular di media sosial, terutamanya Twitter.

Dalam petikan video tersebut yang disiarkan di sebuah program TV, pelakon lelaki terbabit menceritakan pengalamannya menjayakan babak rogol dalam filem Anak Halal membabitkan Raja Farah.

Menurut Raja Farah, 33, dia tampil memberikan kenyataan kerana berasa terkesan dengan apa yang berlaku. Apatah lagi sebagai seorang wanita, dia rasa tidak dihormati dan perkara tersebut mengaibkan dirinya.

“Ramai yang minta saya bagi respon terhadap video yang tular ini. Jadi sebagai isteri yang ada suami, saya meminta pendapat suami tentang perkara ini dan tampil memberikan kenyataan.

“Saya sangat terkesan kerana ia seperti membuka aib dan tidak dihormati sebagai seorang wanita,” ujar Raja Fara menerusi video yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Raja Farah dalam kenyataan sama, memohon pelakon terbabit tampil memohon maaf dan berharap agar tidak ada pihak yang cuba memburukan lagi keadaan.

“Saya harap tidak ada perbalahan balas membalas dan tidak ada pihak yang memburukkan lagi keadaan. Kami berlapang dada.

“Sebaik-baiknya kalau boleh saya harap orang yang berkata-kata itu boleh buat ucapan maaf kepada kami. Tidak secara secara terbuka pun tak apa, tapi cari kami dan boleh sampaikan permohonan maaf pada kami.

“Saya faham, sebagai manusia adalah normal pada kesalahan kita berkata-kata dan sebagainya. Saya harap perkara ini boleh selesai di sini sahaja. Terima kasih pada mereka yang sangat prihatin,” katanya.

Dalam perkongsian sama, suami Raja Farah, Iskandar Ismail, turut menyatakan kekesalannya atas apa yang berlaku dan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon lelaki terbabit menerusi video tersebut sebagai satu tindakan yang salah dari semua sudut.

“Kenyataan dalam video tersebut adalah salah dari semua sudut kerana dia (pelakon lelaki berkenaan) tidak menjaga aib dan kehormatan wanita secara keseluruhannya.

“Perkara itu terjadi pada isteri saya. Atas faktor menjaga kehormatan Wanita, kita tak boleh buat macam itu.

“Saya boleh faham awak nak cerita tentang karya seni dan pengalaman sinematik anda dalam filem itu. Kami faham perkara itu kerana isteri saya pun berlatarbelakang anak seni.

Iklan

“Tapi apabila menyebutnya secara spesifik, saya rasa ia salah kerana ia menyentuh tentag aib dan kehormatan seorang wanita. Apatah lagi wanita itu telah berkahwin.

“Jadi saya rasa tak sesuai dan salah pada semua peringkat. Memang tak patut kita kita ungkapkan hal-hal begitu, lagi pula pada wanita Muslim. Dari sudut agama tak betul, budaya pun tak betul,” tegasnya.

Tambahnya lagi, pada mulanya dia berasa tidak perlu dan kekok untuk memberikan respon tentang perkara itu.

“Bagi saya, orang yang bercakap itu umpama orang yang jahil kerana tak mungkin dia mengungkapkan hal itu kepada adik perempuan, kakak atau ibunya. Saya rasa jelas untuk tahu apa kita kata itu betul atau tidak, kita uji jika orang cakap benda sama pada adik, kakak atau ibu kita, mesti kita pun tidak suka.

Iklan

“Kami tak mahu ia menjadi fitnah dan nak tutup hal ini. Saya harap dia sesal dengan apa yang dia kata. Kami berlapang dada dengan hal ini dan respon kerana ia sudah tular.

“Apapun kita doa pada ALLAH agar fitanah ini tak berlarutan lagi dalam kalangan masyarakat. Kita pun tidak mahu orang yang bercakap ini dicemuh masyarakat. Kita akui ia satu kesilapan. Allah SWT lebih mengetahui akan apa yang telah berlaku,” katanya.

Raja Farah dan suami mendirikan rumah tangga pada 6 September 2015.