SELEPAS 10 tahun bersama, penyampai radio Hot FM Deen akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada stesen tersebut selepas ditamatkan perkhidmatannya hari ini.

Menurut Deen atau nama sebenarnya Nordian Madian, 33, dia menerima notis tujuh hari penamatan perkhidmatannya bertarikh 16 Julai dan hari ini menjadi hari terakhirnya ke udara sebagai penyampai stesen radio di bawah Ripple, Media Prima itu.

“Karier saya sebagai penyampai radio bermula sejak 15 Oktober 2010 sebagai seorang kakitangan kontrak dan bermula pada 1 November 2017 pula sebagai servis provider.

“Saya amat bersyukur dikurniakan rezeki selama 10 tahun bersama Hot FM dan kini sudah tiba masanya untuk Hot FM membuat pertukaran barisan penyampai.

“Ia sememangnya rutin normal bagi sesebuah radio swasta selari dengan selera pendengar, permintaan pasaran, pelan perniagaan dan strategi kandungan.

“Saya menerima keputusan ini dengan profesional dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga, seluruh team Hot FM, rakan media, rakan-rakan dan peminat yang sentiasa menyokong karier saya selama ini,” katanya.

Berkongsi tentang perancangannya selepas ini, Deen berkata, dia berhasrat untuk menyambung kembali pengajian yang tertangguh sebelum ini.

“Perancangan paling utama sekali nak daftar semula pengajian yang tertangguh dari tahun lepas disebabkan jadual kelas bertembung dengan jadual bekerja.

Iklan

“Oktober ini pendaftaran semester baru, doakan saya ya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Deen mengakui minatnya kepada dunia radio  masih ada dan tidak menolak kemungkinan untuk berkhidmat di stesen lain jika diberikan peluang.

Iklan

“Sejujurnya minat dalam radio masih ada. Kalau ada peluang lagi untuk bekerja dalam dunia radio, sama ada sebagai penyampai radio atau jawatan lain, insya-ALLAH saya mungkin akan cuba,” katanya.

Terdahulu sebelum itu, Fizi dan Mark Adam dari segmen Geng Pagi Hot juga mengumumkan perkara sama apabila ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini.