PELAWAK dan pengacara, Danial Zaini mendapat kritikan hebat daripada warga maya yang tidak berpuas hati dengan gaya pengacaraannya ketika mengendalikan program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bersama Elly Mazlein pada konsert minggu kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Kemunculan Danial bagi menggantikan Nabil Ahmad itu dikatakan hambar dan membosankan, selain dituduh seolah-olah cuba merosakkan program tersebut.

Menyedari kekecohan yang berlaku, pengacara GV Live Plus bersama Fiza Frizzy di saluran YouTube itu tampil memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya minta maaf pada semua penonton dan peminat GV9, jika ada kekurangan atau memang banyak kekurangan pada gaya pengacaraan saya ketika menggantikan Nabil mengacarakan GV9 bersama Kak Lina (Elly Mazlein).

“Ada yang kata saya jatuhkan program, rosakkan program dan tak pandai mengacara. Saya minta maaf dan susun sepuluh jari,” ujarnya dalam satu perkongsian menerusi video di laman TikTok miliknya.

Tambah Daniel, situasi tersebut berlaku disebabkan dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan dan persiapan lantaran mendapat tugasan tersebut pada saat-saat akhir.

“Mungklin ada yang tahu, ada yang tidak tahu untuk musim ini saya mengacarakan GV Live Plus bersama Fiza Frizzy di YouTube.

“Jadi kejadian hari ini (Ahad), empat hingga lima jam sebelum program bermula, saya dihubungi pihak produksi yang meminta datang lebih awal kerana perlu menggantikan Nabil sebagai pengacara utama.

“Saya memang tiada pilihan lain kerana saya juga mengendalikan GV Live Plus, jadi memang kena datang. Jadi saya hanya ada masa empat jam sahaja untuk sediakan baju dan sebagainya. Skrip pun pun tak dapat lagi masa itu,” jelasnya.

Tidak hanya itu, Danial juga mengakui tidak terlibat dengan latihan akhir dan hanya sempat berbincang ringkas bersama rakan gandingannya, Elly Mazlein.

Iklan

“Saya tak ada rehearsal dengan produksi dan hanya berbincang dengan Kak Lina apa yang perlu dilakukan dan terus jalan.

“Apa yang anda lihat di pentas, itulah yang mampu saya beri. Dalam masa empat jam, saya perlu mengacarakan sebuah program yang cukup besar bagi menggantikan pengacara asal yang sudah sembilan tahun bersama GV, Nabil Ahmad.

“Saya akui bukan benda mudah menggantikan dia, apatah lagi dengan hanya empat jam membuat persiapan. Memang banyak kekurangan saya.

Iklan

“Jadi sekali lagi saya mohon maaf kalau ada yang tak berpuas hati dengan cara pengacaraan saya dalam program itu,” katanya.

Konsert GV9 minggu kedua yang menyaksikan Roy Kapilla sebagai peserta pertama yang tersingkir itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)