BARU-BARU ini tular di laman sosial foto penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah dikatakan ‘berpesta durian’ di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak.

Perkara tersebut telah mencetuskan ketidakpuasan hati orang ramai, apatah lagi pelantun lagu, Kekasih Awal dan Akhir itu menikmati raja buah tersebut sambil berkaraoke.

Walhal, umum mengetahui dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) sebarang aktiviti sosial adalah tidak membenarkan.

Memetik laporan media tempatan pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali, memberitahu, kehadiran beliau di sana adalah untuk mendapatkan baja bagi perniagaan kolam ikan yang diusahakan.

Menurut Jamal, 62, rakannya yang memiliki kebun durian telah mempelawa untuk menikmati makan
tengah hari dan beliau sekadar memenuhi pelawaan itu.

Mengulasnya lanjut, kebetulan juga pada ketika itu disediakan set karaoke dan penduduk yang hadir meminta beliau mendendangkan lagu.

Justeru, enggan menghampakan Jamal menuruti permintaan dan mengakui terleka sehingga bertindak membuka pelitup muka.

Sehubungan itu, Raja Pop Malaysia itu tampil memohon maaf atas kesilapannya mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri undangan tersebut.

Jamal dengan rendah hati mengakui tindakan itu tidak wajar dan berjanji lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Iklan

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mohon maaf atas kelalaian dan diharapkan kesilapan ini tidak dicontohi,” mohonnya.

Baca juga Nourul Depp mahu jual cincin perkahwinan untuk tujuan amal

Terdahulu, Jamal telah hadir ke Balai Polis Daerah Tapah, Perak pada jam 1.30 petang semalam untuk membantu siasatan.

Iklan

Beliau ditemani isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin yang turut memberi keterangan.

Jelas Jamal, proses siasatan itu berjalan lancar kira-kira 20 minit. Namun begitu, perinciannya tidak dikongsikan memandangkan isu berkenaan masih dalam siasatan.