PENGACARA dan penyanyi, Nana Mahazan mencuri perhatian ramai apabila tampil bertudung ketika melakukan sesi Instagram Live pada petang Ahad.

Tidak menafikan penghijrahannya itu, Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 38, bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai perubahannya itu.

“Saya tak nak cakap banyak, sebab ia selalu dalam kepala saya sejak sekian lama,” ujarnya yang cuba menahan sebak sambil ditenangkan suaminya, Mohamed Raqeem Brian Abdullah.

Sambung bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama itu, dia menganggap perubahannya itu disebabkan doa-doa yang sudah dimakbulkan.

“Ia sepatutnya sesuatu yang menggembirakan. Saya tahu kalian turut sama tumpang gembira kerana saya selalu minta anda mendoakan.

“Jadi hari ini, sebelum Asar dan hujan turun dengan lebatnya… telah makbul doanya. Terima kasih atas doa-doanya,” katanya.

Tambah Nana, dia belum bersedia untuk berkongsi lebih lanjut mengenai penghijrahannya itu buat masa ini.

Namun dia akan berkongsi jua apabila tiba masanya nanti.

“Ianya tidak akan terjadi bila tiba masanya, jadi Alhamdulillah, hidayah itu sampai awalnya.

Iklan

“Tetapi sebagai manusia, ianya agak sukar pada mulanya.

“Saya pun masih belajar, saya masih jadi Nana yang sama. Saya risau juga dengan penerimaan orang dengan Nana yang sama walau dah bertudung.

Iklan

“Harap anda tidak menilai saya, saya masih belajar. Tak pandai lagi nak bertudung. Maafkan saya,” ujarnya.

Brian setia menemani Nana sepanjang sesi siaran langsung itu.

Sementara itu, suami Nana, Raqeem Brian berkata, dia gembira dengan keputusan isterinya itu.

“Saya mahu Nana betul-betul pasti dengan keputusan itu. Saya gembira kalau dia bersedia untuk bertudung sepenuhnya,” katanya.