ISU berkaitan pemerdagangan manusia melibatkan seorang pelawak menjadi tular beberapa hari lalu.

Nama pelawak Tauke Jambu ‘dipetik’ warga maya sebagai yang ditahan polis berhubung kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, pada Ahad.

Menurut laporan portal berita tempatan, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria berkata, beliau langsung tiada kaitan dengan jenayah tersebut sebaliknya berada di rumah ketika itu.

“Saya selamat, tak ada apa-apa berlaku dengan saya.

“Sekarang saya berada di rumah dengan anak-anak dan isteri di Bukit Jalil,” katanya.

Tauke memberitahu beliau tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Gilalah siapa yang petik nama saya itu. 

“Saya berada dalam keadaan baik dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Biarlah apa orang nak cakap, tapi tak eloklah kaitkan saya dengan isu sedemikian,” kata pelawak berusia 45 tahun itu.

Baca juga Nama Sekali Lagi Terkait Kontroversi, Shuk Sahar Buat Laporan Polis

Iklan

Biarpun namanya tiba-tiba ‘dipetik’ warga maya, Tauke tidak marah. Beliau menganggap ia sesuatu yang lucu.

“Rasa kelakar pula bila nama saya dikaitkan dalam perkara ini. Saya tiada hak untuk menutup mulut orang. Masing-masing ada hak bersuara.

“Jangan risau saya berada dalam keadaan yang baik disamping isteri saya sekarang ini,” katanya.

Iklan

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang pelawak terkenal direman empat hari manakala seorang wanita turut diselamatkan polis daripada menjadi mangsa pemerdagangan.

Dalam kes tersebut, suspek lelaki berusia 40-an turut dikenakan kompaun bagi kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Foto: Facebook Tauke jambu