KELIBAT wanita ini dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun mula mencipta nama menerusi peranan sebagai makhluk seram dalam Pontianak Harum Sundal Malam (2004), Maya Karin sebenarnya terlebih dahulu mencuba nasib dalam bidang seni suara dengan album bertajuk Erti Cinta tiga tahun sebelum itu.

Maya atau nama penuhnya, Maya Karin Roelcke, 42, mengakui, walaupun sudah lama tidak tampil dengan buah tangan baharu, minatnya terhadap bidang seni suara masih belum berkubur.

“Saya tidak pernah tinggalkan dunia nyanyian. Saya juga tak pernah cakap tak akan atau tak mahu keluarkan lagi sebarang lagu atau album. Sejujurnya, tiada sebarang tekanan untuk saya sentiasa hasilkan karya baharu.

“Cuma apa yang boleh saya katakan, rezeki nampaknya lebih berpihak dalam arena lakonan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Telaga Suriram arahan Osman Ali di Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bidang nyanyian dan lakonan bagi Maya adalah dua cabang yang berbeza dan sukar digerakkan seiring kerana masalah anxiety yang dihadapinya.

Anak kelahiran Bayreuth, Jerman itu meneruskan momentum bicara. Akui beliau, antara sebab lain portfolionya lebih terarah pada pentas lakonan kerana suasana di set penggambaran yang disifatkan lebih banyak memberi ruang dan tempoh untuk bertenang.

“Bidang nyanyian bertentangan dengan gangguan keresahan. Jika berada di lokasi (penggambaran), tekanan mungkin agak kurang kerana saya rasa selesa dan mengenali pelakon serta kru di situ.

“Jika diserang anxiety (keresahan), saya boleh minta mereka berikan saya masa bertenang sebentar untuk buat apa yang patut dulu, tetapi jika alami anxiety sewaktu naik pentas, ia sukar dikawal.

“Misalnya, ketika saya menjayakan pementasan teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess di Sarawak baru-baru ini, saya rasa bagai nak mati pada persembahan malam pertama, tapi untuk malam kedua, baru okey,” jelasnya satu persatu.

Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik ke-49 itu menambah, dirinya tidak seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza atau Faizal Tahir.

“Baik Siti mahupun Faizal, ketika mereka membuat persembahan, semuanya nampak seperti ‘kacang’ saja. Kedua-duanya seolah-olah memang dilahirkan untuk berada di atas pentas,” ujarnya.

Watak sebagai ibu

Dalam pada itu, ditanya tentang pembabitannya dalam naskhah Telaga Suriram, Maya berkata, itu adalah kerjasama kelimanya bersama pengarah, Osman Ali selepas Anak Halal, Cun, Sejoli, Misi Cantas Cinta dan Jwanita.

Selain Osman Ali, Maya kembali bekerjasama dengan Ellie Suriati selaku jurulatih lakonan.

Pada masa sama, selebriti berkenaan juga melahirkan rasa gembira apabila pertama kali berpeluang bergandingan dengan Nabila Huda dan Scha Alyahya.

“Saya sudah cukup selesa berlakon di samping Farid Kamil, tetapi belum pernah berpeluang jalani satu penggambaran bersama Nabila dan Scha.

Iklan

“Seperkara, bagi saya, filem ini sangat menarik kerana menampilkan ramai pelakon hebat dan turut menyentuh tentang kisah masyarakat. Memang teruja sangat untuk menjayakan filem abang Osman kali ini,” ulasnya.

Maya yang akan membawakan watak sebagai Rohaya, ibu kepada anak kecil, Suriram yang hilang berkata, antara cabaran utama untuk menjayakan karya itu adalah untuk memberi sisi yang berbeza pada karakter berkenaan.

“Saya harus pastikan watak yang dilakonkan dalam Telaga Suriram tak sama seperti Munafik 2 iaitu seorang ibu yang juga memiliki anak perempuan,” katanya yang akan memberi fokus terhadap projek berkenaan terlebih dahulu sebelum beralih kepada skop kerja lain.

Burger jenama sendiri

Pada pertemuan tersebut juga, penulis sempat bertanya mengenai perniagaan burger yang dilakukannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Iklan

Anak seni berbakat tersebut berterus terang bahawa bisnes berkenaan sudah dihentikan, namun buat sementara waktu sahaja.

“Projek burger itu hanya dibuat ketika PKP 1 dan 2 sebab saya sejenis yang suka buat sesuatu dan bukan hanya duduk sahaja di rumah. Bagaimanapun disebabkan sudah mula bekerja, saya terpaksa hentikan projek itu,” ujarnya.

Beritahu selebriti yang juga seorang pencinta alam, beliau sebenarnya memasang niat untuk mengeluarkan jenama burger sendiri suatu hari nanti.

“Ya, mungkin (hasilkan jenama sendiri) kalau semangat itu ada. Namun, impian itu tetap terpahat, mana tahu nanti saya boleh buka francais di seluruh Malaysia,” akhirinya dengan nada berseloroh.