KREDIBILITI lakonannya memang tidak boleh dipertikaikan lagi dengan deretan pencapaian yang dibuktikan sepanjang penglibatannya dalam industri seni tanah air.

Bukan hanya bersandarkan populariti dimiliki, tetapi pemilik nama Siti Saleha Mohd Baharum mempunyai strategi tersendiri untuk terus kekal relevan sebagai anak seni yang menjadi perhatian ramai.

Mengakui agak selektif setiap kali mendapat tawaran berlakon, selebriti berdarah campuran Melayu-Inggeris itu mahu sentiasa memberi kelainan dalam lakonannya.

“Dalam setahun saya memang tidak ambil tawaran berlakon yang banyak, sebaliknya hanya memberikan perhatian kepada tawaran yang memberikan watak berbeza.

“Misalnya pada tahun ini saya tampil dengan watak antagonis menerusi drama Scammer, genre supernatural dalam siri Black dan cinta serta kekeluargaan menerusi 7 Hari Mencintaimu 3, yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.

“Peminat tidak akan lari daripada membuat perbandingan setiap kali saya muncul dengan watak tertentu, tetapi apa yang penting bagi saya ialah kelainan yang dibawakan,” jelasnya kepada SinarPlus.

Pelakon berusia 31 tahun itu turut membuktikan menerusi drama terbaharu lakonannya, Scammer, terbitan Radius One yang kini sedang hangat disiarkan di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam.

Menurut Saleha, Scammer yang menyaksikan gandingan mantapnya bersama aktor Kamal Adli itu menampilkan sisi berbeza dirinya menerusi watak antagonis bernama Amy yang aktif dalam sindiket penipuan ‘money laundering’.

“Watak Amy dalam Scammer sangat berbeza dengan kebanyakan drama saya sebelum ini kerana karekter antagonisnya yang sangat menarik.

“Untuk realisasikan watak ini, saya juga memberi kelainan menerusi penampilan dengan mengenakan solekan tebal, penyambungan bulu mata palsu, selain warna pakaian bertema agar karakter itu nampak lebih menyerlah.

“Kalau ikutkan saya nak warnakan rambut untuk buat watak Amy lagi nampak lain, tetapi disebabkan ketika itu salun tutup, selain prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, saya cuba buat dengan cara lain,” katanya ketika sesi temubual secara maya bersama media baru-baru ini.

Tidak menafikan isu berkenaan sindikit penipuan itu sedang hangat diperkatakan dalam masyarakat kini, Saleha berharap apa yang ditampilkan dalam drama tersebut sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran kepada orang ramai.

“Alhamdulillah saya belum pernah menjadi mangsa atau didekati oleh mereka yang terlibat dalam jenayah ini. Bagaimanapun kita tahu aktiviti ini semakin berleluasa dan ramai jadi mangsa.

Scammer bukan tentang memberi idea kepada penonton untuk menjadi penjenayah, sebaliknya pendedahan kepada masyarakat bagaimana sindikit ini beroperasi dan bahayanya kegiatan ini jika tidak dibanteras.

“Secara keseluruhannya, drama ini mengetengahkan isu yang sangat menarik dan lari daripada tema-tema klise yang biasa penonton tengok,” katanya.

Iklan

Selain Saleha, drama 20 episod arahan Norhanisham Muhammad itu turut menampilkan lakonan Kamal Adli, Fasha Sandha, Arash Mohamad, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Didie Alias.

Gandingan mantap Saleha bersama Kamal Adli dalam Scammer.

Tunggu giliran vaksin

Sementara itu, Saleha berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dia hanya berada di rumah melakukan aktiviti-aktiviti kegemarannya yang jarang dapat dilakukan apabila sibuk di lokasi penggambaran.

“Banyak benda yang saya dapat lakukan di rumah sepanjang PKP ini. Antaranya meluangkan masa melakukan hobi seperti membaca, melukis dan lain-lain.

“Dalam masa sama, walaupun tidak tidak ke set penggambaran, saya masih terikat dengan tanggungjawab sebagai duta produk yang memerlukan saya untuk buat konten di media sosial.

Iklan

“Jadi masa PKP inilah saya ada masa yang lebih untuk buat semua itu, selain menegemaskini perkembangan untuk peminat di media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saleha menyeru orang ramai agar dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing menerusi pengambilan vaksin sebagaimana saranan kerajaan.

“Saya sendiri sedang menunggu giliran untuk divaksin setelah selesai membuat pendaftaran sebelum ini.

“Penting untuk semua orang mendapatkan vaksin agar kita dapat menjalani kehidupan seperti dulu.

“Saya sendiri nak keluar negara apabila sempadan dibuka nanti,” ujarnya yang lebih dua tahun tidak dapat bertemu keluarganya di England disebabkan pandemik Covid-19.