KUMPULAN Search meneruskan perjuangan mereka dengan memperkenalkan tiga ahli baharu terdiri daripada vokalis, pemain dram dan pemain bass.

Penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, 38, dipilih sebagai vokalis dalam projek kolaboratif antara dua negara.

Di Indonesia, Denden tidak asing lagi kerana pernah bekerjasama dengan penyanyi popular negara itu seperti Inka Christie dan Judika.

Malah, Denden juga mencuri tumpuan dunia berikutan aksinya di ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria  apabila membuat juri terpukau ketika menyanyikan lagu She’s Gone nyanyian asal Steelheart.

Denden, penyanyi yang semakin meningkat naik di Indonesia.

Pemain gitar Search, Noordin Mohd Taib berkata, kemampuan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan genre muzik Search.

“Kami memilih Denden kerana suaranya, selain boleh menyanyikan lagu bernada tinggi dan amat sesuai dengan Search.

“Dengan usia 38 tahun, kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik. Usia yang cukup sesuai untuk kemuncak prestasi,” jelasnya.

Selain Noordin dan Kid di posisi gitar serta Denden sebagai penyanyi, Search juga mengumumkan pemuzik berpengalaman luas iaitu Yan sebagai pemain bass.

Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman bukanlah asing dengan Search. Yan pernah menganggotai Search menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Selain itu, Yan juga bersama Search dalam album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.

Noordin berkata, Yan bersetuju menyertai Search kerana keserasian.

“Yan sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika kami membuat persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat pada 1991,” katanya.

Iklan

Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram. Sebelum ini Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika arwah mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

Buka kedai

Dalam perkembangan lain, kumpulan itu juga mengorak langkah dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 31 Disember 2021.

Noordin berkata, ia adalah kedai menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti t-shirt, kasut, topi dan pelbagai lagi.

Iklan

“Kedai itu juga menjual alat muzik seperti gitar serta menawarkan proses jual beli gitar. Ada juga gitar milik saya dan Kid yang diletakkan di situ sebagai pameran.

“Selain itu, kami turut menjual pelbagai barangan koleksi peribadi saya dan Kid ,” katanya.

Dalam masa sama, Search turut melancarkan laman web rasmi mereka iaitu www.fenomenasearch.com yang dijadikan platform rasmi untuk segala perkembangan terbaharu mereka.

Search juga dalam proses menyiapkan akaun media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube rasmi yang akan dikongsikan tidak lama lagi.