Sebagai pereka fesyen, dia tak patut menghentam balik– pemilik baju kontroversi Natasha Hudson
ISU berkenaan penampilan pelakon Natasha Hudson yang mengenakan busana mendedahkan bahagian bahu pada majlis produk suplemen kesihatan Crystal C White pada Selasa lalu masih terus mencetuskan pertikaian.
Terbaru, Master Partner yang juga rakan kongsi produk suplemen kesihatan Crystal C White, Nor Shahlina Abu mengakui agak terkilan dengan jawapan balas Rizman Ruzaini berhubung busana rekaannya yang digayakan Natasha itu.
Nor Shahlina berpendapat sebagai pereka fesyen terkenal, jenama duo popular itu tidak patut melatah dengan menghentam balik, waima siapa pun pemakainya.
"Sebagai pereka fesyen, dia tak patut menghentam balik terhadap siapa pun yang memakai baju rekaannya. Termasuklah Natasha Hudson.
“Rekaan baju yang dianggap kontroversi kerana kononnya mendedahkan bahagian bahu dan betis Natasha itu berlapik. Ia ada 'lining' dan bukannya 'bare shoulder'.
"Cara pereka fesyen itu menjawab seperti marah dan seolah olah macam hina sangat Natasha menggayakan busana rekaannya.
“Sepatutnya dia 'back up' dengan cakap benda yang lebih elok dan bukannya menambah bara. Cara pereka fesyen itu menjawab memang seperti menghentam dan menghina,” kata Nor Shahlina.
Tegas Nor Shahlina, pereka fesyen itu sepatutnya bersifat neutral.
“Baju itu dibeli dengan duit dan bukan dengan air liur. Ia bukan busana yang ditajanya.
"Hormat sikit pembeli baju itu (merujuk kepada dirinya sendiri). Mereka peniaga yang menjalankan perniagaan fesyen sepatutnya faham dengan konsep 'customer is always right," katanya lagi.
Terdahulu Rizman Ruzaini meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui koleksi rekaannya itu dipakai selebriti bertudung.
Menurut Rizman, baju berwarna putih dengan gaya terdedah pada bahagian bahu tersebut telah dibeli seseorang yang tidak diketahui identitinya menerusi atas talian sejak tiga bulan lalu.
“Baju tersebut adalah koleksi pakaian pengantin yang telah dibuat sejak tiga tahun lalu dan telah dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus.
“Sejujurnya, sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seseorang yang berhijab.
“Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu,” kata Rizman pada Rabu.
Menurut Rizman lagi, dia telah banyak bekerjasama dengan ramai selebriti berhijab seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan tahu bentuk pakaian yang bersesuaian dengan imej wanita menutup aurat.
“Sejujurnya saya marah juga apabila mendapat tahu dia (Natasha Hudson) yang memakai baju itu kerana dia berhijab.
“Rekaan baju tersebut direka untuk wanita free hair (tidak berhijab) dan pernah digayakan oleh aktres Fasha Sandha,” katanya.
Dalam pada itu, Rizman turut menegur penatarias yang menggayakan Natasha pada majlis tersebut supaya lebih peka dengan imej seorang wanita Muslim yang berhijab supaya menjaga sensitiviti masyarakat.
Pada Selasa lalu, tindakan Natasha atau nama sebenarnya Natasha Liana Hudson, 39, menggayakan busana yang seolah-olah menampakkan bahagian bahunya, selain mempunyai belahan di bahagian belakang sehingga menampakkan betisnya mendapat kecaman ramai.
(FOTO: Crystal C White)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang