TEKA-teki mengenai kehamilan penyanyi Ernie Zakri akhirnya terjawab selepas penyanyi lagu Ku Bersuara itu berkongsi berita gembira menerusi akaun Instagramnya.

Selain Ernie, suaminya yang juga penyanyi Syamel turut berkongsi hantaran serupa di Instagram miliknya.

“Alhamdulillah untuk rezeki-Mu Ya Allah. Engkau permudahkanlah perjalanan kami,” tulis mereka.

Dalam temubual bersama BH Online, Syamel memberitahu isterinya kini sudah hamil empat bulan dan mengalami alahan pada waktu pagi.

“Alhamdulillah, usia kandungan Ernie sudah empat bulan. Setakat ini, Ernie tidak pula mengidam benda pelik-pelik dan sepanjang trimester pertama, kesihatannya memuaskan.

Iklan

“Cuma, apabila nak masuk trimester kedua, Ernie mula mengalami alahan terutama pada waktu pagi. Doktor maklumkan ini petanda yang bagus kerana bermakna ada tindak balas antara ibu dan bayi dalam kandungan.

“Saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar dan saya harap orang ramai dapat mendoakan isteri dan zuriat kami sihat,” katanya yang tidak kisah tentang jantina anak yang bakal lahir nanti.

Iklan

Ernie dan Syamel telah mendirikan rumah tangga pada 25 Mac lalu setelah mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos 2020.