SELEPAS enam hari menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19, pelakon Datuk Fizz Fairuz memaklumkan dirinya kini positif virus tersebut pada Khamis.

Menurut Fizz, 43, selepas dua tahun bertahan, akhirnya terpaksa akur dengan jangkitan tersebut.

“Selama dua tahun saya jaga, tolak segala kemungkinan, tapi akhirnya tewas juga. Hari ini saya disahkan positif Covid-19.

“Sebenarnya malas nak update, tapi tak best pula. Sebelum ini jumpa kawan-kawan, jadi kena bagitahu juga, tak nak pentingkan diri.

“Setiap pagi buat swab test, ingat kontak rapat saja tapi selepas enam hari, positif. Kepada mereka yang jumpa saya sebelum ni, kalau ada simptom apa-apa, pergilah check.

“Varian sekarang tak ada simptom pun. Tahu-tahu dah positif. Kita jaga, tapi nak kena nasiblah. Jadi pengajarannya hari ini saya tumpas, dua tahun bertahan,” katanya menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya.

Bagaimanapun, pelakon filem Munafik itu bersyukur apabila hanya dirinya seorang yang disahkan positif, manakala isteri, Datin Almy Nadia dan anak-anak tidak dijangkiti.

Iklan

“Alhamdulilah isteri dan anak-anak semua negatif. Kasihan isteri jaga anak empat orang selama tujuh hari ini. Anggap sajalah saya outstation ya.

“Anak-anak kacau juga, ketuk pintu, ‘Assalamuikum’, lepas tu lari. Cute sangat,” kongsi Fizz.

Iklan

Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014. Mereka dikurniakan empat cahaya mata perempuan iaitu Afrina Arianna, 7, Afrina Aurora, 6, Afrina Ayra, 4, dan Nur Afrina Aisyah yang baru berusia dua bulan. Pasangan ini juga memiliki seorang anak angkat, Nur Afrina Darwisyah, 11.

(FOTO: INSTAGRAM DATUK FIZZ FAIRUZ)