DALAM kemeriahan kita menyambut Aidilfitri sejak seminggu lalu, Sony Music Malaysia tampil menyemarakkan mood beraya dengan lagu raya versi segar menerusi Selamat Hari Raya 2021.

Lagu asal nyanyian asal biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma ini sememangnya tinggi nilai estetika serta tidak lapuk dek ditelan zaman.

Berbekalkan paduan suara dengan warna berbeza, versi baharu ini adalah perwakilan kepada nuansa muzik generasi milenium terkini yang juga popular dengan terma millennial.

Lagu ini menampilkan gandingan penyanyi muda iaitu Aisha Retno, Bael0n, Harris Alif, Khodi, Liesl Mae, Qiff, Rasyad, Syabil, dan Vanessa Reynauld.

Dipertanggungjawabkan sebagai penerbit muzik dan komposer Euwyn Tan mengakui inspirasi susunan muzik yang digubahnya bersama Ross Farren cukup moden.

Namun begitu, mereka semestinya sangat menekankan keaslian asal mood asalnya yang ceria dan bertepatan dengan suasana tradisional sambutan aidilfitri.

Iklan

“Saya ingin mencipta susunan yang moden tetapi masih mengekalkan elemen tradisional dan ceria. Saya mengambil inspirasi daripada lagu Valerie oleh Amy Winehouse yang popular dan juga senang untuk didendangkan.

Iklan

“Muzik kumpulan acapella Pentatonix juga menjadi inspirasi penting memandangkan saya bekerja dengan ramai penyanyi,” katanya.

Selamat Hari Raya 2021 boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.