PERKAHWINAN penyanyi Zizi Kirana dan suami, Yusuf Bahrin, pada 19 September lalu bukan sahaja menyatukan cinta antara keduanya, tetapi turut menyimpan cerita manis tidak terduga.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, pernikahan itu dalam masa sama telah membawa kepada usaha menjejak bapa kandung yang terpisah semenjak usianya tiga tahun.

“Ibu dan bapa saya bercerai dan kami tidak berjumpa lagi sejak usia saya tiga tahun. Dalam usaha mencari wali, termasuk cubaan untuk mengiklan mengenainya di akhbar, ALLAH SWT mempermudahkan urusan saya.

“Saya melakukan carian di Instagram dan terjumpa nama adik-beradik yang sebapa. Apabila dimaklumkan kepada emak, rupa-rupanya dia terlebih dahulu menghubungi bapa untuk menyatakan hasrat kami.

“Hanya selepas itu, baru saya dapat bercakap dengan bapa. Walaupun hanya dapat berhubung melalui panggilan telefon, dia memberikan kerjasama yang sangat baik.

“Segala dokumen penting untuk pernikahan saya dan Yusuf dihantar melalui kaedah kurier,” katanya.

Menurut penyanyi lagu EH! itu, dia berhasrat untuk membawa suaminya, Yusuf, 29, bertemu bapa kandungnya tidak lama lagi.

“Saya merancang untuk membawa suami berjumpa dengan bapa apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Iklan

“Saya dan Yusuf bersyukur banyak pihak yang mendoakan kebahagiaan serta kebaikan untuk kami berdua,” ujarnya.

Zizi berkata demikian ketika ditemui dalam temubual menerusi IG Live anjuran Nurflixtv bertajuk Rahsia Dia: Jodoh dan Ketentuan bersama hos Diana Amir dan dan panel jemputan, Ustazah Asni serta Faralyna Idris baru-baru ini.

Jelas Zizi lagi, dia percaya dalam setiap kesulitan pasti ada jalan keluar. Malah penyanyi yang kini sudah tampil berhijab penuh itu menyerahkan dan menggantung seluruh harapannya kepada Allah SWT yang berkuasa mengatur segala urusan hidupnya.

Iklan

“Sejak awal perkenalan dengan suami, saya tidak pernah mempertikai sama ada Yusuf mampu membimbing saya atau sebaliknya.

“Proses dan persiapan pernikahan kami sangat mudah serta cepat. Menjelang hari pernikahan kami, saya lebih tenang dan santai berbanding orang sekeliling termasuk keluarga, kawan serta pengurus,” katanya.