SELEPAS kejayaan album Belagu, penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah bakal sudah bersedia untuk melancarkan album studio ke-10, Belagu II.

Perkataan ‘Belagu’ membawa maksud menyanyi, diambil dari dialek Melayu Sarawak merupakan sebuah album yang dibarisi lagu-lagu klasik Melayu malar segar yang disusun semula muziknya.

“Belagu II adalah kesinambungan dari album Belagu yang dilancarkan awal tahun 2021 yang lalu.

“Tujuannya sama, bagi album kedua ini, Dayang mahu meraikan lebih banyak lagu memandangkan kesemuanya sangat indah dan boleh dipertontonkan.

“Kini, dengan Budapest Scoring Orchestra, kami berharap ia dapat menjangkau lebih ramai pencinta muzik antarabangsa,” kata penyanyi yang berasal dari Sarawak ini.

Album ini akan dilancarkan di semua platform digital bermula 27 Januari 2023 dan para peminat sudah boleh membuat pra-tempahan/pra-simpanan/pra-tambah album ini.

Berdasarkan kejayaan Belagu, Dayang berharap dapat terus menarik minat semua peminat muzik menerusi satu produksi muzik yang akan menyajikan satu pengalaman menikmati muzik yang lebih mengasyikkan.

Belagu II dibarisi lapan lagu klasik Melayu yang disusun semula berserta satu lagu baharu dan kesemuanya diiringi muzik Budapest Scoring Orchestra bersama pemuzik handalan Malaysia.

Iklan

Album ini juga sekali lagi disusun dan diterbitkan oleh penerbit yang tidak asing lagi, Aubrey Suwito. Belagu II juga diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Dayang turut menganggap album ini adalah sebagai satu cara untuknya memperkenalkan kembali lagu Melayu klasik kepada generasi muda, dan dalam masa yang sama untuk semua yang mendengar menghayati kembali keindahan lagu-lagu klasik ini.

Iklan

“Dayang berharap agar semua peminat Dayang akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu Dayang sampaikan. Dayang mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Dayang anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni,” jelasnya.

Antara lagu yang terkandung dalam Belagu II adalah Nak Dara Rindu, Ketipang Payung, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Umpan Jinak Di Air Tenang dan empat buah lagu lain.