Selepas Keliru, Asyraf Nasir berkias dalam 2PAI

ASYRAF NASIR
ASYRAF NASIR
A
A
A

NAMA Asyraf Nasir barangkali masih asing lagi buat segelintir peminat industri seni, namun bukan halangan buat juara RapStar Era itu untuk tampil dengan projek baharu.

Setelah mempertaruhkan single Keliru tahun lalu, kini Asyraf kembali dengan sebuah  karya yang dijangka mengukuhkan lagi nama serta kedudukannya dalam industri menerusi 2PAI.

Lagu yang diinspirasikan daripada peribahasa ‘setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Asyraf dan diterbitkan oleh Wolfy, berkisar sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila mereka memperolehi segalanya.

Bercerita lanjut mengenai 2PAI, Asyraf berkata, lagu itu mengambil masa sebulan untuk disiapkan secara keseluruhan.

“Penulisan lirik mengambil masa lebih kurang dua hari, manakala proses lainnya mengambil masa untuk disiapkan.

”Saya berkerjasama dengan Wolfy untuk komposisi muzik secara virtual. Lagu ini disiapkan pada tahun 2020, ketika tempoh kawalan pergerakan. Jadi kami terpaksa membuat panggilan video untuk menyiapkan segala proses.

“Saya sebenarnya mahu merakamkan lagu dalam studio, tetapi setelah empat kali melakukan proses itu, saya rasa hasil yang terbaik adalah yang pertama, iaitu rakaman di rumah.

“Jadi lagu yang anda dengar ini adalah rakaman asal,” jelasnya.

Asyraf Nasir mula berkecimpung dalam industri seni setelah menjuarai sebuah program tahun lalu.

Tambah Asyraf, video muzik 2PAI telah diarahkan Thaqif Saadon dan turut menampilkan rakan seperjuangannya, YonnyBoii.

“Biarpun video muzik dirakam dalam masa satu hari, tetapi persiapan penuh mengambil masa sebulan sebelum kami akhirnya dapat berada di lokasi bersama kru terlibat di set.

“Semua orang akan lihat karakter saya yang berbeza daripada yang biasa sebab konsepnya seperti filem aksi,” ujarnya.

2PAI sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Asyraf Nasir.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca