BINTANG Bollywood terkenal, Deepika Padukone dilaporkan positif virus pandemik, Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada Selasa.

Menurut laporan media di India, bapa Deepika yang juga ikon badminton dunia, Prakash Padukone terlebih dahulu dimasukkan ke hospital pada 1 Mei lalu setelah mengalami masalah pernafasan.

Hasil ujian calitan Covid-19 menunjukkan beliau positif virus itu sebelum ibu Deepika, Ujjala dan adik perempuannya Anisha menjalani ujian sama dan turut disahkan positif.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan mengalami gejala demam panas dan sehingga hari ini, hanya Praksh yang masih dirawat di hospital. Manakala Deepika bersama ahli keluarga yang lain menjalani kuarantin di rumah.

Beberapa minggu lalu, Deepika dan suaminya, Ranveer dilihat meninggalkan Mumbai dengan penerbangan untuk meluangkan masa bersama keluarga Deepika di Bengaluru, India.

Iklan
Sehingga kini keadaan kesihatan suami Deepika yang juga aktor Ranveer Singh, tidak diketahui.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di India kini sudah mencecah 20.28 juta selepas mencatat lebih 357,229 jangkitan pada Selasa, menurut Kementerian Kesihatan, lapor Agensi Anadolu (AA).

India yang bergelut dengan peningkatan kes menyebabkan sistem kesihatan negara lumpuh menyaksikan hospital kekurangan katil, bekalan oksigen dan ubat-ubatan. Banyak negara tampil membantu dengan menghantar bekalan perubatan.

Iklan

Kebanyakan pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat hospital tidak lagi berupaya menyediakan bantuan peralatan oksigen.