FENOMENA Kampong Pisang terus utuh sejak kemunculan drama premium menerusi jenama Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-Siri pada Disember tahun lalu yang mendapat pujian ramai.

Rentetan daripada itu, fenomena Kampong Pisang diteruskan menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang ditayangkan pada bulan Ramadhan lepas.

Sambutannya hangat diperkatakan oleh penonton dan pengkarya industri hiburan, malah impak daripada filem tersebut juga seiring dengan kutipannya yang mencecah RM5 juta dan sekali gus berjaya memecah rekod mengetepikan filem pecah panggung, Hantu Kak Limah lalu menjadi filem nombor tiga paling laris di Astro First sepanjang masa.

Kini Astro dan pengarah tersohor Mamat Khalid kembali dengan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, yang boleh ditonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 27 Mei ini.

Uniknya, terdapat 10 buah lagu ‘evergreen’ yang dinyanyikan sendiri oleh barisan pelakon Kampong Pisang. Kesemuanya terdiri daripada lagu popular Hari Raya dan juga lagu hit sekitar 1990-an seperti Cahaya Di Aidifitri, Pulang, Suasana Hari Raya dan Doa Di Hari Mulia.

Tidak ketinggalan lagu Selamat Hari Raya, Halaman Asmara, Di Persimpangan Dilema, Kekasih Awal Dan Akhir, Belaian Jiwa, dan Pantun Budi.

Masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler dan kali ini mengembalikan Datuk Awie sebagai teraju utama serta watak-watak baru yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.

Iklan

Bagi edisi Aidilfitri, ia menyaksikan setiap watak mempunyai konflik dan delima masing-masing dalam menyambut Hari Lebaran. Ia bermula apabila seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya.

Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.

Iklan

Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya. Cik Purnama membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian.

Pak Karim dan Kak Som hiba kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang telah tiada. Serta Daud M yang perlu bekerja di malam raya bagi penghantaran barang-barang buat penduduk kampong Pisang yang membeli barang di atas talian.