Selepas setahun tertangguh, akhirnya filem Backstage ditayang 30 Disember depan

FILEM BACKSTAGE
FILEM BACKSTAGE
A
A
A

SETELAH tertunda lebih setahun rentetan pandemik Covid-19, filem Backstage yang merupakan kolaboratif Astro Shaw bersama penerbit terkemuka Indonesia, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment serta NFC Indonesia, akhirnya bersedia untuk ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia bermula 30 Disember depan.

Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment juga secara rasminya telah tampilkan treler dan poster filem tersebut buat pertama kali di XXI Metropole, Cikini, Jakarta pada Jumaat.

Buat penonton Malaysia, treler rasmi ini juga boleh ditonton menerusi platform media sosial Astro Shaw.

Penerbit Paragon Pictures, Robert Ronny mengharapkan agar Backstage mendapat reaksi positif daripada penonton.

“Kami berharap filem ini akan mendapat reaksi positif daripada penggemar filem Indonesia, terutamanya daripada kalangan remaja.

“Cerita perjuangan seorang gadis yang ingin menjadi penyanyi dengan sokongan kakaknya ini akan memberikan pengalaman menarik buat penonton,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw berbesar hati dapat menjalin kerjasama strategik bersama Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment dalam memperkukuhkan jenama kedua-dua penerbit di peringkat global.

“Kerjasama ini dilihat menjadi platform sempurna buat Astro Shaw dalam mempamerkan kredibiliti dalam menyediakan platform terbaik untuk mengedar dan memasarkan filem dari negara luar, di samping konsisten dengan komitmen berterusan dalam mempersembahkan filem-filem berkualiti kepada penonton Malaysia.

“Kini filem Backstage sudah bersedia untuk dipersembahkan kepada umum. Kami masih meneliti perkembangan sambutan pawagam di Malaysia yang baru sahaja bermula selepas penutupan di sebabkan pandemik.

“ Jika menunjukkan sambutan yang menggalakkan pihak kami akan mempertimbangkan tayangan serentak dengan Indonesia. Filem ini akan menjadi filem pertama daripada Astro Shaw untuk tayangan di panggung wayang sejak pawagam tanah air di buka semula selepas pandemik Covid-19.

“Kami berharap kehadirannya mampu menarik penonton ke pawagam dan sekali gus merancakkan ekonomi filem tempatan. Kami juga berharap menerusi kerjasama ini, ia dapat meneguhkan lagi filem serantau Asia,” katanya.

Sementara itu, pengarah Backstage, Guntur Soeharjanto mengakui begitu banyak cabaran dalam menghasilkan filem Backstage.

“Cabarannya termasuklah segala proses dan kerja perlu dihentikan apabila negara berdepan dengan pandemik. Namun segala kerja keras kami terbalas apabila filem ini akhirnya akan ditayangkan di pawagam penghujung tahun ini.” katanya.

Apa kata Pelakon:

Sissy Prescillia (Sandra)

“Saya berpuas hati dengan hasilnya. Kerja keras kami selama pandemik seperti sudah terbalas. Elemen drama kakak dan adiknya sangat kuat dan lagu-lagu yang dipersembahkan juga pasti akan memikat hati penonton. Filem ini wajib ditonton di pawagam.”

Vanesha Prescilla (Elsa)

“Filem ini sangat istimewa, jadi saya sangat teruja akhirnya filem Backstage akan menemui penonton di pawagam. Lebih menarik, filem ini dapat menghiburkan penonton pada hujung tahun ini.”

Achmad Megantara (Michael Nara)

“Ini adalah kali pertama saya bergandingan dengan Vanesha, dan ternyata dia seorang yang sangat terbuka. Saya harap keserasian kami dalam Backstage dapat dirasai oleh penonton filem ini, dan mampu menghiburkan.”

Selain Vanesha Prescilla, Sissy Priscillia, Achmad Megantara, filem ini juga dibintangi oleh Aulia Sarah, Karina Suwandi, Ferry Salim, Verdi Solaiman, dan Roy Sungkono.

Tarikh tayangan filem Backstage di pawagam Malaysia akan diumumkan selepas ini. Ikuti perkembangan dan info tentang filem Backstage menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca