PELAWAK dan pelakon, Zizan Razak mengikut jejak langkah Zul Ariffin dan Remy Ishak untuk menarik diri dari pencalonan Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34).

Jelas Zizan, dia membuat keputusan itu bagi memberi ruang kepada bakat-bakat baharu yang bertanding.

“Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) antara majlis anugerah yang banyak memberi pengkitirafan kepada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia.

“Sejujurnya, ia adalah anugerah yang mendekatkan Zizan dengan para peminat. Di situlah kami berkumpul dan mengenali antara satu sama lain. Semua mencatat momen manis!

“Begitupun, seiring usia dalam bidang seni, Zizan mengambil keputusan untuk menarik diri dari sebarang pencalonan #abpbh34.

“Zizan percaya ABPBH kali ini harus diraikan kepada bakat-bakat baharu yang bertanding. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak penganjur,” tulisnya.

Iklan

Anak jati Kuala Terengganu itu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan peminat yang setia berada di belakangnya selama ini.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang saban tahun mencalonkan Zizan. Dan terutama peminat yang mengundi sepanjang penganjurannya.

Iklan

“Zizan akan terus menyokong ABPBH dari luar gelanggang. All the best kepada semua calon!” ujarnya.

Sepanjang dicalonkan dalam anugerah itu, Zizan pernah membawa pulang trofi Artis Komedi Lelaki Popular (2010), Pengacara TV Lelaki Popular (2011); manakala empat anugerah pada 2012 menerusi Gandigan Di Layar Serasi (bersama Johan Raja Lawak), Artis Asia Paling Popular, Artis Lelaki Paling Stailo dan Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial.