BAKAL melahirkan anak keempat tidak lama lagi, Siti Sarah Raissuddin kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta.

Menariknya, lagu yang dicipta oleh komposer terkenal Ajai merupakan lagu duet kedua bersama suami tercinta, Shuib.

Terdahulu, pasangan ini pernah muncul dengan lagu Cinta Itu Nyawa yang  dikeluarkan pada tahun 2012.

Berkongsi mengenai lagu duet kedua mereka, Sarah berkata, dia melihat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini sebagai waktu yang sesuai untuk berkongsi karya baharu kepada semua.

“Lagu ini sudah dirakamkan sejak setahun lalu, lebih tepat ketika negara kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama dahulu.

“Idea lagu ini hadir daripada Ajai sendiri yang ingin melihat kami berduet. Malah lagu ini memang diciptakan khas buat saya dan Shuib.

“Ikutkan selepas siap dirakam, kami memang tiada tarikh untuk lagu ini dilancarkan.

“Jadi dalam keadaan saya  menunggu hari untuk melahirkan anak keempat dan Shuib juga tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, kami kira ini waktu yang sesuai untuk kongsikan lagu ini dengan peminat,” katanya.

Mengenai lagu Semakin Benci Semakin Cinta, Sarah berkata, walaupun tajuk lagu itu menggambarkan kisah cinta, namun ini bukanlah babak kehidupan yang dilalui pasangan ini.

“Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan yang saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu.

“Dalam tempoh ini wujud pelbagai kejadian yang menduga rasa cinta mereka. Bagaimana ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak tetapi perasaan itu sendiri.

“Dengan keadaan negara kita yang berhadapan dengan pandemik ini, pasti ramai yang  melalui situasi yang sama.

Iklan

“Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah ada yang tidak dapat pulang ke kampung berbulan lamanya untuk bertemu orang tersayang. Jadi lagu ini saya anggap cukup kena dengan situasi sekarang,” jelasnya.

Keluarga bahagia ini sedang menghitung hari menanti kehadiran orang baharu.

Sementara itu, Shuib berkata, dia menganggap lagu tersebut sebagai hadiah untuk isterinya yang sarat mengandung anak keempat.

Dalam masa sama, pemilik perniagaan Bubble Bee itu berharap lagu ini akan diterima baik.

Iklan

“Tidak dinafikan selepas sembilan tahun tidak menyanyi bersama, pembikinan lagu ini agak mencabar buat saya. Bagaimanapun saya dah cuba yang terbaik dan berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya juga berharap pendengar akan berpuas hati dengan hasil lagu ini,” katanya yang cukup mengagumi bakat penciptaan lagu yang dimiliki oleh Ajai.

Semakin Benci Semakin Cinta diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Indigital Music.