PASTINYA sudah ramai yang sering mendengar lagu Jangan Marah (Baby Sayang) nyanyian kumpulan yang semakin popular, Unknown.

Single pertama itu juga secara tidak langsung melonjakkan nama kumpulan yang dianggotai Momo, Haf, Zaq, Ameer dan Izmeer itu.

“Kami masih lagi dalam fasa mencuba pelbagai genre dan sedang mencari ‘signature’ bunyi Unknown, apa yang kami cuba tonjolkan adalah sesuatu yang segar, sedikit ‘gila-gila’ dan baru.

“Setiap daripada kami mempunyai watak yang berbeza, Momo seorang yang ‘genius’, Haf sentiasa dengan peribadinya yang ‘cool’, Zaq pula sangat berbakat, Izmeer ada sifat yang melankolik dan saya pula suka membuat orang tertawa,” kongsi Ameer.

Kejayaan itu mendorong Unknown meneruskan langkah dalam industri muzik dengan single kedua mereka, Tersakiti.

“Alhamdulillah, setelah penerimaan luar jangkaan daripada peminat terhadap single pertama kami, kami pertaruhkan pula single kedua iaitu Tersakiti.

“Lagu Tersakiti ini dicipta oleh saya sendiri bersama Haf, dan idea di sebalik lagu ini diinspirasikan daripada lagu Korea yang menjadi kegilaan remaja masa kini.

“Ia menceritakan tentang kisah percintaan remaja yang banyak onak dan durinya. Tersakiti bermaksud memberi pesan buat mereka yang sedang merasa ‘sakit’ atau ‘pedih’ di dalam jiwa yang diolah bentuk menjadi sebuah lagu,” terang Momo.

Lagu yang berdurasi 3:51 minit dalam nuansa hip hop dengan elemen RNB ini dimulai dengan intro yang perlahan namun menggamit perasaan kemudiannya diselitkan dengan tutur kata rap oleh Haf yang penuh bertenaga dan diwarnai dengan korusnya yang membuai jiwa.

“Proses rakaman yang bertempat di Studio Platinum mengambil masa selama sehari saja, manakala seminggu lagi diperuntukkan untuk proses penambahbaikan serta mastering.

“Sewaktu proses rakaman sedang berlangsung, kami berpeluang bekerjasama dalam membentangkan idea dan pendapat masing-masing untuk mewarnai karya tersebut.

Iklan

“Banyak yang kami pelajari selain dapat mengeratkan hubungan sesama kami secara kolektif,” kata Haf.

Beri peluang

Dalam pada itu, ditanya harapan Unknown dalam industri muzik, Izmeer berkata, dia berharap kumpulan itu akan diberikan peluang.

“Berilah kami peluang menonjolkan bakat dalam mewarnai industri muzik Malaysia sebagai pelapis generasi baru.

Iklan

“Kami berharap agar ramai yang dapat menerima lagu Tersakiti, setiap komen positif mahupun negatif yang kami terima dalam mempertingkatkan mutu muzik yang kami persembahkan,” ujar Izmeer menutup perbualan.

Lagu Tersakiti boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Muzik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Ace Talents.