NAMA kumpulan Kristal dalam industri seni bukan asing lagi. Biarpun vokalis beberapa kali bertukar ganti, namun kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun 1999 tetap berdiri teguh.

Kini, kumpulan Kristal dianggotai oleh Ewal (vokalis), Rody (gitar utama), Kechiq (pemain bes) dan Acap (pemain dram).

Ewal yang merupakan vokalis baharu Kristal sejak tahun 2020, pernah bergerak solo dan merupakan anak kepada bekas vokalis kumpulan Wings iaitu Mel Wings.

Ditanya keserasian bersama kumpulan Kristal, Ewal berkata, walaupun menjadi vokalis rasmi tahun lalu, namun dia sudah bersama Kristal sejak Disember 2019.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur selama dua tahun ini. Saya lihat perjalanan karier seni kami semakin lancar dan lebih banyak peluang yang datang.

“Saya pun sangat selesa dengan semua anggota Kristal. Mereka memberi ruang untuk saya membawa cara sendiri dan juga berkarya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Ewal, dia juga tidak berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan lagu bergenre rock walaupun dikenali sebagai penyanyi pop dan balada sebelum ini.

“Saya tidak ada masalah untuk membawa lagu-lagu Kristal mahupun lagu terbaharu. Lagipun genre rock ini adalah genre saya sejak kecil lagi.

“Cuma, cara nyanyian dan corak itu yang membezakan saya dengan penyanyi-penyanyi sebelum ini. Saya lebih ke arah moden rock,” ujarnya.

Selepas tampil dengan single Bosan, Oktober tahun lalu, Kristal tampil dengan buah tangan terbaharu, Terpisah.

Lagu Terpisah merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Zai Hamzah (Acoi Floor88) dan susunan muzik oleh Harry Khalifah.

Kristal masih mengekalkan genre dan identiti mereka dalam mempertaruhkan lagu Terpisah yang lebih menonjolkan sisi rock pada vokal Ewal yang sering dibandingkan dengan vokalis-vokalis sebelum ini.

Iklan

Lagu Terpisah disempurnakan oleh paduan muzik gitar utama daripada Rody, gitar bes daripada Kechiq dan dram daripada Acap.

Ewal berkata, kelebihan lagu berkenaan adalah key yang tinggi tetapi senang untuk dibawakan.

“Walaupun nada lagu ini tinggi tetapi ia masih dalam kemampuan vokal saya, manakala sentuhan susunan muzik lagu ini masih mengetengahkan trademark kumpulan Kristal.

Iklan

“Dari segi cabaran adalah bagaimana saya mahu lari daripada bunyi penyanyi asal. Apa pun saya berharap lagu ini mendapat sambutan daripada pendengar,” kata Ewal lagi.

Muzik video rasmi lagu Terpisah dilancarkan pada 16 Ogos lalu di laman YouTube MVM Music.

Lagu berkenaan juga boleh didengar di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes.

Ikuti perkembangan Kristal melalui pautan media sosial Instagram @kristalband, @ewalofficial, @rodykristal, @kechiqrangers dan @acapkristal_.