Semangat kental Nizam Laksamana harungi cabaran PKP 3.0

Nizam Laksamana
Nizam Laksamana
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak lebih setahun lalu, ternyata memberi kesan besar kepada masyarakat tidak mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

Ramai yang terjejas dan terpaksa berjuang meneruskan kehidupan dengan mencari pelbagai inisiatif bagi menambah pendapatan.

Perkara sama turut dilalui penyanyi popular era 1990an, Nizam Laksamana, 55, yang kini aktif menjual menjual muruku secara dalam talian untuk menampung kehidupannya dan keluarga.

Tidak mahu mengambil sikap menunggu sesuatu yang tidak pasti, Nizam, berkata semenjak pandemik bermula, kerjaya nyanyiannya terjejas teruk apabila persembahan pentas tidak dapat diadakan.

“Sebelum pandemik, undangan mengadakan persembahan sentiasa ada. Kalau dapat satu atau dua tawaran dalam sebulan pun kadang-kala sudah cukup untuk menampung kehidupan sehingga tiga bulan akan datang.

“Bagaimanapun apabila penularan Covid-19 semakin serius sehingga membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sebagai penyanyi hilang pendapatan.

“Jadi mahu tidak mahu, saya perlu cari jalan lain menambah pendapatan iaitu dengan menjual muruku yang pada awalnya hanya dijadikan pendapatan sampingan sahaja,” ujarnya kepada SinarPlus.

Bekas rocker yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta bersyukur apabila jualan Muruku Lejen itu sangat menggalakkan dan dapat menampung kehidupan, termasuk membiayai kos perubatan isterinya, Salwati Zulkifli, 46, yang kini menghidap kanser payu dara.

“Walaupun tidak dapat menyanyi, rezeki saya datang daripada sumber lain. Apa bidang yang boleh datangkan hasil, saya akan ambil peluang itu.

“Saya akui pada awalnya susah juga buat kerja lain kerana sudah bertahun-tahun saya menyanyi, tetapi kita kenalah realistik demi meneruskan kehidupan.

“Saya tak kisah walaupun ke sana sini buat penghantaran asalkan usaha itu ada hasilnya. Walaupun tak mewah, tetapi cukup untuk menampung keperluan harian kerana saya tidak mahu bergantung kepada bantuan orang,” katanya.

Bagaimanapun, apabila PKP kembali dilaksanakan, Nizam mengakui jualan agak terjejas.

“Selama lebih setahun jualan muruku mendapat sambutan sangat baik. Malah, pada sambutan raya baru-baru ini juga, saya mendapat tempahan sebanyak 1000 bekas sehingga tempahan terpaksa ditutup awal kerana tidak menang tangan.

“Bagaimanapun keadaan sebaliknya apabila PKP kembali dilaksanakan. Tempahan masih ada, cuma tidak serancak seperti sebelum ini,” katanya yang merancang untuk mengembangkan perniagaan tersebut selepas PKP 3.0 tamat.

Dalam perkembangan lain, Nizam bersyukur proses rawatan isterinya dipermudahkan dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

“Minggu depan isteri akan buat kimoterapi untuk sesi keenam sebelum menjalani pembedahan membuang sel kanser dalam tempoh sebulan selepas itu.

“Sejak disahkan menghidap kanser pada Januari lalu, emosi dan fizikal isteri sangat lemah dan sebagai suami saya cuba yang terbaik untuk beri semangat dan berada di sisinya.

“Saya mohon agar orang ramai dapat mendoakan kesihatan isteri kembali pulih,” katanya.

Nizam dan Salwati mendirikan rumah tangga pada 1995 dan dikurniakan empat anak yang berusia antara 17 tahun hingga 25 tahun.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca