PENGACARA Maria Tunku Sabri meluahkan rasa syukur apabila dibenarkan pulang ke rumah selepas sembilan hari ditempatkan di Pusat Kurantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurut Maria, 51, dia mendapat kebenaran untuk pulang ke rumah daripada doktor yang bertugas selepas membuat rayuan dan meyakinkan keadaan kesihatannya semakin baik.

“Saya merayu pada doktor di Maeps dan kata nak balik rehat di rumah. Saya dapat kebenaran dan sekarang sudah berada di rumah. Syukur alhamdullillah.

“Saya nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara mara, sahabat taulan dan pengikut saya yang tidak henti-henti mendoakan dari jauh sehingga saya pulih hari ini.

“Tidak kurang juga yang buat bacaan Yasin dan doa secara online. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa anda semua.

“Bila kita sakit, kita terharu dan hargai mesej daripada keluarga dan sahabat. Itu yang buatkan saya cepat sembuh. Saya lawan sebab saya tahu ramai yang sayang saya,” ujarnya menerusi perkongsian di laman Instagram.

Dalam pada itu, Maria yang pernah dikenali menerusi program Jalan Jalan Cari Makan itu mendedahkan, ketika berada di Maeps ramai kenalan dan keluarga termasuk suami mencadangkan dia berpindah ke hospital swasta untuk meneruskan rawatan.

Bagaimanapun kata Maria, dia memilih terus berada di Maeps untuk menimba pengalaman dan melihat sendiri keadaan di sana. Malah, Maria percaya ada sebab kenapa dia ditempatkan di situ.

“Ramai juga yang mesej dan bertanya kenapa saya saya tidak masuk hospital swasta sahaja. Saya katakan pada mereka, ada sebab kenapa saya masuk Maeps.

“Selepas dijangkiti Covid-19, saya terus muhasabah diri. Saya yakin ada sebab kenapa ALLAH bagi saya ujian itu.

Iklan

“Jadi saya memilih untuk terus berada di Maeps walaupun saya sebenarnya boleh saja berpindah ke hospital swasta. Selama sembilan hari di sana, banyak pengalaman yang cukup memberi pengajaran pada saya.

“Ini semua bukan fasal duit atau keselesaan, tetapi saya ada sebab tersendiri,” jelasnya.

Berkongsi keadaan terkini dirinya, Maria yang dijangkiti varian Delta itu berkata kesihatannya semakin baik walaupun masih ada kuman di dalam paru-paru.

Iklan

“Suara saya masih lagi serak kerana batuk masih lagi ada. Tapi alhamdulillah hari ini OK sedikit dan dada pun dah tak ada rasa mencucuk.

“Jadi saya rasa lega sikit berbanding sebelum ini di mana saya sering batuk-batuk apabila mula bercakap.

“Terima kasih kepada anda semua yang menghantar ubat, herba dan makanan kepada saya. Hanya ALLAH saja yang mampu membalas dan memberi pahala kepada anda,” luahnya.