MENUNAIKAN nazar yang dibuat baru-baru ini, pelakon Mawar Rashid tampil memberi sumbangan beberapa peralatan perubatan kepada Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Menurut Mawar, dia bernazar untuk memberi sumbangan barangan keperluan tersebut sekiranya mereka keluarga sembuh daripada virus Covid-19 yang dijangkiti Julai lalu.

Perkongsian tersebut dibuat pelakon Pok Ya Cong Codei itu menerusi laman Instagramnya pada Isnin.

“Alhamdulillah saya dah lepas niat bernazar ke atas keluarga dan mak saya. Saya bernazar sekiranya kami semua sembuh daripada Covid-19 dengan izin ALLAH SWT, saya berniat sedekahkan barangan keperluan hospital untuk pesakit-pesakit Covid di hospital.

“Saya mampu sumbangkan 15 tangki oksigen, lima troli oksigen untuk tangki oksigen dan alat pengatur tekanan (Pressure Regulator) untuk Hospital Selayang.

“Manakala untuk Hospital Ampang pula, saya sumbang empat Divider dan lima oximeter,” katanya.

Bagaimanapun kata Mawar, sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan hospital yang kini sedang dalam keadaan kritikal merawat pesakit Covid berikutan kes harian yang tinggi.

Mawar lega dapat menunaikan nazarnya dengan memberikan sumbangan peralatan untuk kegunaan hospital.

Disebabkan itu, Mawar menerusi inisiatifnya sendiri cuba mengumpulkan dana dan membuat kutipan menerusi media sosial untuk melengkapkan peralatan diperlukan.

“Jumlah sumbangan saya itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan hospital. Hospital memerlukan dua unit troli pengangkat bernilai RM35,000 setiap satu. Jadi saya terfikir untuk buat sesi siaran langsung (live) dan kumpulkan dana untuk tujuan itu.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kawan-kawan saya, antaranya Eyra Hazali, Zoey Rahman, Sha Hassan, Nurin Afiqah, Aleeya Zailan dan Zarina Anjouli sebab sama-sama bantu ketika saya buat sesi siaran langsung di media sosial.

Iklan

“Kami berjaya mengumpul lebih RM74,000. Terima kasih kepada semua pengikut yang turut menyumbang dalam sesi tersebut. Saya sangat menghargainya. Semoga murah rezeki anda semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, sementara menantikan stok troli pengangkat yang diperlukan dengan harga bersesuaian, Mawar juga berusaha mendapatkan alat penghangat untuk bayi yang berharga RM35,000.

“Saya dah hubungi pihak hospital untuk memesan dua troli pengangkat tapi stok tersebut tidak ada di Malaysia dan mengambil masa selama lapan hingga 10 minggu untuk ditempah.

Iklan

“Untuk stok sedia ada pula, harganya adalah RM52,000. Jadi, kami sedang berbincang untuk mencari pembekal dengan harga lebih kurang RM35,000.

“Pihak hospital mencadangkan agar saya belikan satu unit troli pengangkat dan satu unit penghangat untuk kegunaan bayi-bayi, anak kepada pesakit Covid-19.

“Nanti kami kongsikan perkembangan itu dengan anda semua dan muat naik resit-resit pembelian,” katanya.