HAMPIR empat dekad bergelar anak seni, nama pelakon versatil, Norliza Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Liza Abdullah, 56, masih lagi menjadi sebutan ramai sehingga ke hari ini.

Jika sebelum ini dirinya sinonim dengan watak komedi, semenjak akhir-akhir ini Liza yang telah membintangi lebih 10 buah filem dan hampir 70 buah drama serta telefilem itu meledak dengan karakter antagonis dan kemuncaknya menerusi watak Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2.

Bicara Seni pada minggu ini berkongsi pandangan beliau kembali meniti populariti selepas beberapa dekad dalam industri.

SINAR PLUS: Apakah reaksi anda apabila nama menjadi tular dan kembali menjadi sebutan ramai gara-gara watak Mak Leha dalam 7 Hari Mencintaiku 2?

LIZA ABDULLAH: Alhamdulillah saya sendiri tidak pernah menjangkakan perkara seperti ini berlaku kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon.

Mungkin ia menjadi perhatian kerana watak Mak Leha itu sendiri dekat dengan masyarakat iaitu seorang ibu mertua yang ‘jahat’ dan bermasalah dengan menantu.

Rasa macam tak percaya ia begitu memberi impak kepada penonton sehingga ramai betul yang membenci watak itu, selain memparodikan babak melibatkan Mak Leha di laman sosial.

Adakah anda kini dicop sebagai pelakon antagonis dan mula dibanjiri dengan watak-watak sebegitu?

Memang itulah selalunya yang akan dihadapi oleh kebanyakan pelakon kita. Jika lakonannya untuk sesuatu watak itu memberikan impak besar, maka lamalah dia akan melekat dengan watak sebegitu kerana akan ada lagi tawaran-tawaran lain menyusul menerusi karakter sama.

Apa pun saya OK sahaja kerana bagi saya, sebagai pelakon kita kena kreatif dan sentiasa sahut cabaran. Jahat pun ada pelbagai gaya dan caya, jadi pandai-pandailah kita warnakan agar watak itu jadi pelbagai walaupun dalam kategori sama.

Apakah cabaran berlakon dengan pelakon baharu di set penggambaran? 

Bagi saya, sebagai pelakon tidak kira senior atau junior, bila kita masuk set semua orang sama sahaja.

Masing-masing perlu buat kerja dengan betul, jaga disiplin, tahu peranan yang perlu dimainkan dan selebihnya respek antara satu sama lain. Itu sahaja.

Bagaimanapun biasalah, ada juga sesetengah pelakon baharu yang tidak memberikan sepenuh komitmen ketika di lokasi.

Saya akan tegur bila ada keperluan untuk berbuat demikian. Bukan saja-saja tegur nak tunjuk bagus kerana kita pelakon senior, tetapi saya buat untuk kepentingan naskhah dan kepuasan bersama.

Iklan

Sebagai pelakon senior, apa perasaan anda turut menjadi perhatian di media sosial dan dikenali dalam kalangan peminat generasi baharu?

Jujurnya saya memang terkejut dengan perkembangan tersebut kerana kita semua maklum media sosial didominasi oleh budak-budak muda, jadi pelakon senior macam saya ini jarang mendapat tempat di medium itu.

Memang satu kejutan jugalah bila pengikut di media sosial saya naik bilangan dengan mendadak dan bila saya muat naik sesuatu gambar atau video, laju sahaja orang ‘like’ atau memberikan komen. Itu belum masuk lagi yang minta buat review produk dan sebagainya.

Rasa seronok sebab rasa penat lelah kita berbaloi bila orang menghargai kita dengan cara macam itu. Tak perlu tunggu anugerah, tetapi cara begini pun saya anggap sebagai satu penghargaan atas kerja seni saya.

Iklan

Bagaimanapun, saya tetap dengan prinsip saya untuk sentiasa bekerja dengan betul meskipun nama dijulang atau tidak.

Paling penting, saya tidak pernah mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Adakah anda mempunyai target untuk berada dalam bidang seni sehingga tempoh tertentu?

Saya tidak pernah meletakkan tempoh tertentu untuk meletakkan nokhtah pada kerjaya seni saya. Bagi saya, bila tiba masanya, ia akan berlaku atas apa juga alasan sekalipun.

Cuma pada ketika ini, saya selesa dengan apa yang lakukan dan ia adalah punca pendapatan untuk saya meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal.