SELEPAS 22 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian Dian Sulastrie akhirnya berpeluang tampil dengan single pertamanya berjudul Sentuhan Abadi.

Karya yang ditulis dan dihasilkan Chevy Amry di bawah lambel Luncai Emas Sdn Bhd itu sudahpun diedarkan secara digital di platform streaming dan iTunes.

Dian yang juga seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya mencipta nama selepas terlibat dalam program Suara Viral 2020.

Menurut penyanyi berasal dari Kuala Penyu, Sabah itu, minat menyanyi bermula apabila sering mengikut ibunya membuat persembahan di RTM Sabah sejak dia kecil lagi.

“Secara kebetulan, ayah saya juga seorang anggota polis dan dengan bakat yang ada, saya sudah mula menyanyi dalam majlis-majlis melibatkan PDRM,” katanya.

Jelas Dian, selepas menyertai pasukan polis, dia berpeluang untuk menyertai Kombo PDRM dan membuat persembahan dalam dan luar negara.

“Sebagai penyanyi Kombo PDRM, saya bukan sahaja perlu menyanyi dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam bahasa-bahasa lain kerana turuta membuat persembahan di depan diplomat-diplomat asing.

“Saya boleh menyanyikan lagu dari negara Thailand, Filipina, Vietnam, Jepun, China, Kemboja, Korea dan juga India,” ujarnya.

Dian mampu menyanyikan lagu pelbagai genre dan bahasa. – FOTO: Luncai Emas

Dengan kelebihan yang ada pada dirinya, Dian yakin mampu bersaing dengan penyanyi-penyanyi sedia ada.

Selain itu, Dian juga mempunyai keupayaan untuk menyanyikan semua genre muzik yang sudah menjadi satu keperluan dalam setiap persembahan Kombo PDRM.

“Sebagai penyanyi Kombo PDRM, saya dilatih menyanyikan pelbagai genre lagu.

Iklan

“Kadang-kala apabila membuat persembahan, pihak penganjur juga akan membuat pelbagai permintaan termasuk menyanyikan lagu-lagu berunsurkan tradisonal,” ujarnya.

Ditanya mengenai single pertamanya, Dian merasa amat bersyukur dapat bernaung di bawah syarikat Luncai Emas yang merupakan satu label besar dalam industri.

“Saya memang rasa teruja dan bersyukur kerana untuk menjadi seorang penyanyi bukan mudah, apatah lagi bernaung di bawah label Luncai Emas yang merupakan nama besar dalam industri,” jelasnya.

Single Sentuhan Abadi juga tampil dengan muzik video yang berkisarkan kehidupan Dian yang berada di dalam kesedihan kerana kekasihnya, Chris hilang tanpa meninggalkan berita, sebelum kembali muncul menyelamatkannya dalam satu kejadian.

Iklan

Muzik video itu telah dilancarkan di saluran YouTube Luncai Emas Sejak 12 Disember lalu.

 

(TEKS: Junhairi Alyasa/FOTO: Luncai emas)