SETELAH beberapa kali menolak, akhirnya penyanyi Noraniza Idris bersetuju menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) sekali gus menyahut cabaran untuk memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminatnya.

Mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia dan cukup sinonim dengan perjuangannya memartabatkan lagu daripada genre berkenaan, Noraniza mengakui bukan mudah membuat keputusan menyertai GV7.

Menurut Noraniza, 52, setelah mendapat restu daripada suami dan sokongan padu pihak pengurusannya, Mind Order, dia mula terbuka hati.

“Sebenarnya keputusan menyertai GV7 dibuat pada saat-saat akhir. Kalau ikutkan sebelum ini pun, Astro sudah beberapa kali menjemput saya untuk menyertai GV.

“Susah nak terima sebelum ini kerana saya merupakan penggerak tegar lagu Irama Malaysia dan tentunya saya hanya fokus pada irama itu setiap kali buat persembahan pentas.

“Sedangkan GV mempunyai konsep tersendiri dengan menampilkan seseorang penyanyi itu membuat persembahan dalam tugasan merentasi pelbagai genre.

“Bagaimanapun, setelah mempertimbangkan banyak perkara, saya akhirnya bersetuju untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Noraniza ditemui di majlis sidang media pengumuman barisan peserta, juri tetap dan hos GV7 yang berlangsung di Envi Skydining, Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut penyanyi Dikir Puteri itu lagi, dia kini gigih membuat persiapan termasuk bakal menghadiri kelas vokal.

“Sepanjang tempoh 33 tahun dalam industri seni, saya tidak pernah belajar vokal dan ini merupakan pengalaman pertama kali buat saya.

“Demi GV7 saya akan melalui proses ini dan saya juga percaya akan berdepan dengan banyak lagi benda-benda baharu yang mungkin selama ini tidak pernah dilakukan,” katanya.

Mengulas tentang anggapan sesetengah pihak yang mengangap dirinya tidak sesuai menyertai GV7 kerana sudah bertaraf ‘legend’ dalam industri, Noraniza mempunyai pandangannya sendiri.

“Memang saya tak nafikan ramai peminat saya pada mulanya tidak menggalakkan saya menyertai GV.

Iklan

“Bagaimanapun saya ada misi tersendiri menerusi penyertaan dalam GV7, di mana saya melihat ia sebagai platform terbaik menarik perhatian beberapa pihak membuka pintu lebih besar kepada perjuangan Irama Malaysia.

“Saya lebih melihat kepada impak selepas program ini nanti,” katanya.

Dalam masa sama, Noraniza mengakui bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang komen dan kritikan juri sepanjang program berkenaan berlangsung.

“Saya tiada masalah dan boleh dengan terbuka kritikan juri profesional kerana pentas itu memang menjadi ruang mereka memberikan kritikan pada persembahan setiap peserta yang terlibat dan mendidik dalam masa sama.

Iklan

“Bagaimanapun saya mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk membiasakan diri dengan kritikan-kritikan daripada netizen di luar sana.

“Jadi awal-awal lagi saya motivasikan diri sendiri untuk tidak membaca atau melayan kritikan mereka kerana tidak mahu emosi terpengaruh dengan perkara negatif,” akhirinya.

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)