PERKONGSIAN pelakon Azlee Khairi mengenai seorang wanita menerusi akaun Instagramnya empat hari lalu mengundang pertanyaan ramai.

Bagaimanapun pelakon yang mula meledak menerusi drama Love Your Mr Arrogant pada 2013 itu tidak menafikan sudah berkahwin buat kali kedua pada Januari tahun lalu.

Jelas Azlee atau nama sebenarnya Azlee Khairi Zulah Hainee, 33, hasil perkahwinan dengan kru penerbangan dikenali dengan nama Nurul Hidayah atau Dhiya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

“Ya, saya sudah bernikah buat kali kedua. Ini juga perkahwinan kedua buat isteri dan memiliki dua anak. Cuma saya tak boleh berkongsi butiran tepat mengenai isteri kerana dia tak gemar akan hal itu.

“Alhamdulilah perkongsian hidup kami kini turut dikurniakan anak lelaki berusia lima bulan. Cuma ada yang yang netizen salah faham dan mengandaikan saya sudah ada dua anak. Salah seorang itu, anak tiri saya sebenarnya.

“Majlis nikah kami pun secara atas talian secara sederhana dan dibuat membabitkan ahli keluarga serta sanak saudara masing masing,” katanya yang memaklumkan sudah tiba masanya untuk mendedahkan perkara sebenar bagi mengelakkan salah faham.

Azlee bersama isteri dan anaknya.

Tambah Azlee, mereka sepatutnya mengadakan majlis persandingan pada Mac tahun lalu. Bagaimanapun kerana situasi semasa Covid-19, perancangan itu tergendala.

Iklan

“Selepas setahun juga, majlis yang ditunda itu akan diadakan pada 18 Mac depan di sebuah lokasi di ibu kota.

“Masa itu, saya akan berkongsi juga gambar pernikahan kami. Saya kena hormat permintaan keluarga masing masing,” katanya yang memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai perkahwinan terdahulunya.

Iklan

Azlee sebelum ini pernah berkahwin ketika namanya berada di puncak populariti dengan wanita dari Brunei sekitar tahun 2014 dan memilih menetap di sana.

Bagaimanapun sekitar November 2019, Azlee kembali ke Malaysia dan tampil berlakon semula, sebelum mengesahkan bukan lagi suami orang setahun kemudian.