BIARPUN sudah tampil berhijab sekitar September tahun lalu, pelakon Anzalna Nasir jarang sekali bercerita tentang penghijrahannya itu kepada umum dan menganggap ia sebagai perkara yang peribadi buatnya.

Menurut Anzalna, 34, keputusannya untuk berhijab datang daripada dirinya sendiri yang mahu memperbaiki diri dan menjadi Muslimah lebih baik.

Selepas tampil dengan imej baharu, pelakon Dendam Cinta Aurora itu mengakui didatangi banyak tawaran bergelar duta pelbagai jenama tudung.

“Saya sangat terkejut apabila menerima pelbagai tawaran sebagai duta tudung. Tak sangka ada banyak jenama tudung di Malaysia ini.

“Bagaimanapun saya menolak kesemua tawaran yang datang ketika itu. Bukan sengaja tolak rezeki, cuma saya belum bersedia.

“Saya pakai tudung bukan sebab sesiapa dan tidak ada kaitan dengan apa-apa projek atau tawaran kerja. Jadi saya tidak kisah dengan pandangan orang, sebaliknya hanya fokus dengan niat saya,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Loveta X Anzalna, baru-baru ini.

Anzalna (dua dari kiri) bersama suami, Hanif Zaki dan keluarga Allahyarham Siti Sarah ketika majlis pelancaran Loveta X Anzalna.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan berhijab, Anzalna mengakui tidak mampu menolak tawaran daripada jenama tudung Loveta, milik Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang melamarnya sebagai duta.

Apatah lagi, Allahyarham Siti Sarah sebelum ini pernah beberapa kali menghubungi Anzalna dan menyuarakan hasrat untuk kerjasama.

“Arwah Siti Sarah pernah beberapa kali hubungi saya sebelum ini untuk bekerjasama dalam produk kosmetik. Bagaimanapun saya terpaksa tolak kerana ketika itu sudah terikat dengan jenama lain.

“Jadi apabila dapat tawaran daripada tudung Loveta yang diuruskan oleh keluarga arwah, saya tidak mampu menolak walaupun dalam masa sama turut didatangi tawaran daripada satu lagi jenama tudung ternama.

“Saya mahu bersama Loveta kerana diberitahu mereka memerlukan seseorang untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh arwah Siti Sarah,” katanya.

Belum padam gambar lama

Mengulas reaksi sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakannya masih belum memadam gambar ketika belum berhijab di media sosial, bekas finalis Dewi Remaja Edisi 2009/2010 itu ada alasannya tersendiri.

Iklan

“Setiap perubahan yang nak lakukan, bukan boleh dibuat sekelip mata. Semuanya memerlukan masa.

“Saya bukan tidak mahu memadam gambar-gambar tidak bertudung di Instagram tetapi ada sesetengah gambar itu masih terikat dengan kontrak jenama tertentu dan perlu dikekalkan buat masa ini.

“Sampai masa, insya-ALLAH saya akan padam gambar-gambar yang saya rasa tidak patut. Doakan agar saya terus istiqamah,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya seninya, ibu kepada seorang cahaya mata, Mohamad Eidrees, 2, mengakui sudah lama tidak muncul dengan produk terbaharu di kaca TV.

Iklan

“Sebenarnya sehingga kini saya masih menerima pelbagai tawaran berlakon. Bagaimanapun selepas bergelar ibu, masa saya banyak bersama anak dan agak terhad untuk melalukan aktiviti di luar.

“Insya-ALLAH saya akan kembali berlakon apabila tiba masa yang sesuai nanti,” katanya yang kini aktif melakukan kerja-kerja amal.

 

(FOTO: Loveta)