TANDA TANYA mengenai status hubungan pelakon Sharifah Sakinah dengan lelaki Sweden, Michael Hansen, 42, akhirnya terjawab apabila pelakon tersebut mendedahkan mereka sudah berkahwin.

Menerusi satu perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya, Sakinah atau nama sebenarnya Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 33, berkata, mereka terpaksa merahsiakan perkara itu daripada orang ramai sebelum ini disebabkan beberapa faktor.

“Disebabkan ramai bertanya, ya kami sudah berkahwin. Kepada mereka yang hairan kenapa kami tak maklumkan mengenai perkahwinan ini adalah kerana isu peribadi dan hal agama.

“Kami memilih untuk tidak menghebahkan sebelum ini, tapi sekarang baru kami bersedia untuk kongsi. Tak payah tanya lagi okay. Terima kasih semua,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, bintang drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu mengumumkan pertunangan dengan Michael setelah hamper setahun berkenalan.

Dalam hantaran sama, Sakinah turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pusat kecergasan khas untuk wanita yang ditubuhkan bersama sejak setahun lalu.

“Selamat ulang tahun pertama Hemmafit! Teringat lagi masa mula-mula start dulu sebagai Fitnessakinah dengan niat nak tolong orang, buat kelas tanpa caj.

“Kemudian pandemik berlaku dan lebih ramai orang perlu bekerja dari rumah, makin lama makin bertambah ahli dan akhirnya Hemmafit ditubuhkan.

Iklan

“Tambah modal, peralatan, jurulatih, pakar nutrisi dan komitmen daripada Sakinah setiap hari,” katanya.

Sakinah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang juruterbang pada 2015, sebelum bercerai pada 2020. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Anais Adha yang kini berusia lima tahun.

Sementara itu, Michael menerusi perkahwinan terdahulu juga mempunyai dua anak yang berusia tujuh dan 10 tahun.

Iklan

(FOTO: Instagram Sharifah Sakinah)