PENYANYI Shiha Zikir meluahkan rasa kesal apabila tidak dibenarkan mengambil video ketika mendapat suntikan vaksin keduanya pada Isnin.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Shiha atau penuhnya Nurshiha Mohd Zikir, 34, mengakui keliru apabila petugas berkenaan melarangnya daripada berbuat demikian atas alasan tidak mahu ia menjadi tular.

Tambah Shiha, apa yang lebih mengecewakan, cara individu terbabit menegurnya juga seperti kurang beradab.

“Saya keliru, sebab menteri dah cakap boleh, tapi kenapa ada jugak doktor yang cakap, no?

“Yang paling penting, cakaplah dengan cara yang lebih beradab. Janganlah bagi alasan yang tak masuk akal. Bukannya tak percaya pada doktor.

“Fasal ambil video ni pun, sekurang-kurangnya ia membantu jika ada masalah apa-apa. Jangan terus tak bagi amik video sebab tak suka viral. Kalau benda benda betul, kenapa pula nak viral,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Aewo itu mempertahankan tindakannya untuk mengambil video kerana berasakan ia satu pendekatan yang baik menarik lebih ramai orang mengambil vaksin, selain sebagai bukti proses tersebut berjalan lancar.

“Netizen-netizen semua pun faham, doktor dan jururawat pasti letih sebab tu kadang-kadang ada juga yang tak tervaksin. Bila ada video sekurang-kurangnya ada bukti dan bolehlah ambil semula vaksin. Bukankah lebih selamat untuk semua orang?

Iklan

“Tak semua orang penakut jarum, berani tau nak tengok waktu tengah dicucuk. Sebab itulah ada yang lebih selesa rakam dan pandang tempat lain. Tapi alhamdulillah saya jenis tak takut jarum.

“Sebagai public figure, jika post video fasal vaksin, sekurang-kurangnya dapat sebarkan positif untuk orang yang takut nak ambik vaksin dan berminat nak ambil vaksin,” tegasnya.

Meski terpaksa berdepan insiden tersebut, Shiha bagaimanapun bersyukur apabila berjaya melengkapkan suntikan vaksin untuk dos keduanya.

Iklan

“Apa-apapun alhamdulillah dah selesai dua dos. Terima kasih untuk doktor yang bagi suntikan dos pertama untuk saya sebelum ini yang beri layanan baik. Sekurang-kurangnya taklah gementar sangat nak ambil vaksin pertam kali hari tu.

“Saya harap dengan apa yang saya suarakan ini sedikit sebanyak dapat membantu orang lain yang mungkin alami benda yang sama,” katanya.