Shiha sentiasa menjiwai karakter dan konsisten – Awie perjelas pemilihan Shiha sebagai Superstar Paling Gempak

A
A
A

BIARPUN kumpulan UBI diangkat sebagai juara, namun pemenang Superstar Paling Gempak menjadi milik Shiha Zikir pada pentas akhir Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada Jumaat.

Shiha yang bersama kumpulan Cili mendapat saingan sengit daripada Namie (Ubi) yang turut menampilkan persembahan menghiburkan sepanjang MLS3 berlangsung, malah turut menjadi peserta kegemaran ramai.

Menurut ketua juri, Datuk Awie, pemilihan pemenang bagi kategori itu dilakukan berdasarkan penilaian terhadap persembahan mereka sepanjang MLS3 berlangsung.

“Pada penilaian dan pengamatan pihak juri dari minggu pertama sehingga minggu akhir, Shiha berjaya menjiwai karakter-karakter yang dibawakan dengan sangat bagus.

“Bukan Namie tidak bagus, tetapi usaha yang dibawakan oleh Shiha itu saya lihat sangat konsisten daripada mula MLS3 sehinggalah final. Dia berjaya mengembangkan watak demi watak dengan jayanya,” kata Awie.

Aksi Shiha (kiri) bersama kumpulan Cili di pentas akhir MLS3.

Sementara itu, Namie mengakui tidak kecewa, malah turut bersetuju dengan apa yang dikatakan pihak juri dan menganggap Shiha lebih berhak memenangi kategori tersebut.

“Saya mengikuti MLS sejak musim pertama lagi dan saya lihat pemilihan Superstar Paling Gempak memang diberikan kepada mereka yang sentiasa menonjol dalam persembahan setiap minggu.

“Untuk saya sendiri, ada minggu yang saya jadi feeder sahaja, manakala Shiha setiap minggu muncul sebagai killer dan menonjol dalam persembahan bersama kumpulan Cili.

“Jadi saya setuju dengan apa yang dikatakan ketua juri dan akui Shiha lebih berhak memenangi kategori itu,” katanya.

Malam kemuncak MLS3 menyaksikan persaiangan sengit daripada empat kumpulan yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir yang terdiri daripada Ubi, Cili, Bahroy dan OOD.

Ubi yang dianggotai oleh Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi.

(FOTO: AZRUL RAFIE - ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca