PERNAH dikutuk, dicaci dan dihina bukan hanya oleh netizen tetapi juga rakan seindustri, tidak sedikit pun mematahkan semangat selebriti versatil, Shiha Zikir untuk terus mara ke hadapan.

Ternyata kesabaran dan usaha keras membuahkan hasil apabila peminat memilih Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir untuk mendominasi empat kategori dipertandingkan di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021).

Bukan itu sahaja, menerusi penilaian juri profesional, Shiha, 35, turut memenangi kateogri utama iaitu Top Top MeleTOP Wanita pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan Shiha membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 dan trofi. Shiha juga turut menerima RM5,000 dan trofi bagi empat kategori yang dimenanginya iaitu Artis Versatil MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP (bersama Noki), Lagu MeleTOP (AEWO) dan Bintang Filem MeleTOP (Hantu Bonceng).

SHIHA ZIKIR
Air mata kegembiraan… Shiha tidak dapat menahan sebak apabila bercerita mengenai perjalanan karier seninya.

Mengulas mengenai kemenangannya, Shiha mengakui tidak pernah menjangkakan akan diiktiraf sebegitu rupa selepas 12 tahun berada dalam industri seni.

“Tercalon dalam empat kategori pun sudah buat saya terkejut, inikan pula menang keempat-empat kategori itu.

“Apatah lagi sebelum ini kalau sebut nama Shiha Zikir dalam pencalonan awal pun susah nak jumpa. Sampaikan saya tak terasa hati, tak kisah pun andai tak tercalon.

“Apa pun bagi saya, rezeki, jodoh, ajal dan maut kita tidak boleh persoalkan. Jadi saya anggap ini rezeki buat saya kali ini.

“Paling penting, saya tidak beli undi peminat untuk menang malam ini. Kalau betul saya nak beli, lama dulu saya buat,” katanya ketika ditemui sebaik berakhir AME2021 di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

AME2021
Persembahan tribute untuk Allahyarham Mamat Khalid dan Siti Sarah mengundang sebak.

Tambah Shiha, jika dia memilih untuk mengambil pusing segala kata nista yang dilemparkan, dia barangkali tidak akan ke mana-mana.

Justeru pengalaman lalu digunakan sebaik mungkin untuk belajar dan terus melangkah berbekalkan bakat yang ada.

Bukan itu sahaja, Shiha menjadikan ibu sebagai kunci semangat untuk terus berada dalam industri seni.

“Sesungguhnya, mak saya ialah sosok penting yang beri kekuatan kepada saya setiap hari. Selain mencari rezeki, hidup saya adalah untuk mak dan keluarga.

“Bagi saya apa yang penting, kalau kita nak buat sesuatu, lakukanlah dengan betul-betul. Itu prinsip yang saya pegang.

“Apa orang nak kata di belakang saya, itu terpulanglah. Kalau saya nak terasa atau nak ikut apa orang kata, akhirnya saya tidak akan ke mana-mana,” jelasnya.

AME2021
Hael Husaini dan Dolla turut tampil mempersembahkan lagu terbaharu mereka, Suara Lebaran Kita.

Ditebak apakah yang dimahukan lagi selepas ini, Shiha berkata, dia mahu terus mengharumkan nama di pentas antarabangsa selepas ini.

“Saya suka dengar orang sebut, Shiha Zikir dari Malaysia. Jadi saya mahu kembangkan kerjaya saya di luar pula. Tidak kisah buat apa, asalkan saya boleh harumkan nama dan negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Khai Bahar tak beli undi

Dalam pada itu, penyanyi dan pelakon, Khai Bahar diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP Lelaki sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 berserta trofi.

Iklan
KHAI BAHAR
Khai kembali merampas trofi Top Top MeleTOP Lelaki.

Khai turut memenangi dua lagi kategori iaitu Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123.

Penyanyi lagu Damba itu juga menegaskan tidak pernah menghulurkan wang ringgit pada peminat bagi memastikan dirinya terus menang di mana-mana majlis anugerah.

“Saya tidak pernah bayar apatah lagi suruh kelab peminat saya (Khai Bahar Empire) untuk terus menghantar undian.

“Apa pun saya ucapkan terima kasih pada mereka yang tidak jemu-jemu memilih saya,” ujarnya.

AME2021
Pemenang kategori utama Top Top MeleTOP.

Selain Khai dan Shiha, kumpulan Dolla pula memenangi kategori Top Top MeleTOP Grup/Duo dan turut membawa pulang wang RM10,000 dan trofi.

Iklan

Setiap pemenang dipilih berdasarkan undian tertinggi dalam kalangan calon Top 5 bagi setiap kategori. Manakala pemenang bagi kategori Top Top MeleTOP dipilih oleh juri-juri profesional.

PENGACARA AME2021

Disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dari PICC, AME 2021 dihoskan tiga gandingan pengacara popular iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.

DATUK SERI SITI NURHALIZA
Penyanyi kesayangan ramai turut tampil membuat persembahan di AME2021.

Tampil dengan tema Yang Fresh, Yang Legend, anugerah itu dimeriahkan lagi dengan persembahan artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Search, Misha Omar, Tomok, Amir Masdi, De Fam, Zizi Kirana, MK K-Clique, Han Byul, Dolla, Hael Husaini, Aina Abdul, Siti Nordiana, Bunga Isme dan ramai lagi.

AME2021 sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Januari lalu tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran kes Covid-19 kembali meningkat.

WARTAWAN : SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA & NURIZAN KASSAN