BIARPUN masih baharu dalam industri muzik namun kemampuan bintang muda, Sophia Zuhri beraksi solo dalam persembahan debutnya, An Evening With Sophia Zuhri di Hotel Royal Chulan Damansara baru-baru ini berjaya mencuri perhatian ramai.

Tampil mempersembahkan lima buah lagu hasil ciptaannya sendiri iaitu Game of Charades, Medicore Love, Perfect For You, Mimpi Mimpi Ini dan Against Me, penyanyi berusia 18 tahun itu ternyata membuktikan bakat istimewa yang dimiliki, sekali gus menghiburkan lebih 200 tetamu yang hadir.

Mengakui agak gementar beraksi secara solo pada persembahan debut itu, apatah lagi lagu-lagunya belum pernah didengar penonton yang hadir, Sophia menganggap ia sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Pada awalnya saya rasa sangat gementar untuk membuat persembahan secara live buat pertama kalinya kerana sedar kebanyakan orang masih belum mendengar lagu-lagu saya sebelum ini.

“Bagaimanapun apabila melihat penonton memberikan reaksi positif, saya rasa sangat gembira. Persembahan ini adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

“Saya sangat menghargai mereka yang hadir, menyokong dan membuatkan saya selesa di pentas. Harap semua yang hadir terhibur dengan lagu-lagu nyanyian saya,” ujarnya.

Sophia bersama bapa dan Ajai yang menjadi orang penting di sebalik penglibatannya dalam industri seni.

Lagu-lagu yang disampaikan dalam persembahan tersebut juga merupakan sebahagian daripada karya yang bakal dimuatkan dalam album sulungnya yang akan berada di pasaran digital pada September ini.

Album yang menampilkan genre Britpop terbitan Inspirasi Entertainment Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music itu memuatkan 10 buah lagu ciptaan Sophia.

Menurut penyanyi yang juga merupakan komposer dan penulis lirik itu, dia cenderung menulis lagu tentang kehidupan daripada kaca matanya sendiri.

“Saya meluahkan pemerhatian saya terutamanya tentang kehidupan dalam lagu-lagu. Saya percaya kebanyakan daripada kita pernah melalui pelbagai fasa kehidupan terutamanya ketika meningkat dewasa,” katanya yang menjadikan penyanyi Yuna sebagai idola.

Lagu Melayu

Iklan

Biarpun lebih selesa dengan lagu berbahasa Inggeris, Sophia yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat A-Levels di London, United Kingdom itu menyahut cabaran peminat untuk merakamkan lagu Melayu berjudul Mimpi Mimpi Ini.

Pada asalnya lagu tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris sebelum komposer dan penyanyi Ajai yang juga bertindak sebagai penerbit menggarap lirik bahasa Melayu pada karya itu.

“Bukan mudah bagi saya untuk mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu. Pengalaman ini agak mencabar, namun saya berharap agar lagu ini mendapat tempat di hati peminat.

Iklan

“Mimpi-mimpi Ini menceritakan kesusahan seseorang yang cuba membantu individu lain namun ditolak. Realitinya, ada segelintir individu yang bergelut dengan masalah mental dan tidak mahu dibantu.

“Saya merasakan amat penting bagi mereka untuk meminta pertolongan tanpa rasa diadili atau dihukum,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan penuh daripada keluarga.

(FOTO: ROSLI TALIB)