JIKA dahulu sosok ini cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon, namun sejak dua tahun kebelakangan ini, dia menjadi antara figura usahawan berjaya.

Siapa sangka, dalam masa kurang tiga tahun, Shuib berjaya membuka 62 outlet perniagaan berasaskan minuman, Bubble Bee.

Tidak pernah mendongak langit dan lupa diri, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad memilih untuk berbakti semula kepada masyarakat menerusi Yayasan Bubble Bee yang ditubuhkan sejak enam bulan lalu.

“Sebelum ini kami memang sudah mula buat khidmat tanggungjawab sosial (CSR). Cuma sejak enam bulan lalu, kami bergerak di bawah Yayasan Bubble Bee.

“Objektif utama kita adalah untuk buat lebih banyak CSR pada masa akan datang. Sebagai permulaan dan sejak awal penubuhan, kami agihkan 100 cawan air Bubble Bee di masjid melalui 62 outlet.

“Ini juga sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat yang menyokong kami. Sasaran seterusnya kami berhasrat untuk membantu mana-mana pelajar yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan outlet baharu Bubble Bee baru-baru ini.

Mengakui idea penubuhan yayasan itu datang daripada arwah isterinya, Siti Sarah Raissuddin, Shuib berkata, dia berhasrat untuk meneruskan impian bidadari syurganya itu berbakti pada masyarakat.

“Sarah yang nak sangat-sangat tubuhkan yayasan. Sebelum ini kami bergerak atas kapasiti sebagai selebriti kerana bukan mudah untuk membuka satu yayasan, ia melibatkan duit dan dana.

“Tetapi alhamdulillah ALLAH permudahkan dan saya akan teruskan apa yang Sarah impikan iaitu berbakti pada masyarakat,” jelas bapa kepada empat orang cahaya mata itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihan Zara Zya selaku pemilik outlet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, Shuib berkata, keputusan tersebut dibuat melalui perbincangan bersama pihak pengurusan.

Katanya, selepas sekian lama, pihaknya mencari ‘bunga’ dalam kalangan selebriti untuk menyertai team Bubble Bee.

“Antara kriteria yang ditetapkan individu itu minat dengan perniagaan dan kebetulan Zara memang pernah mengendalikan perniagaan berasaskan makanan dan senang memberi kerjasama.

“Walaupun Zara pernah gagal sebelum ini, saya kata itu perkara biasa. Perniagaan memang ada jatuh bangun, gagal itu sahabat karib kita. Sebenarnya ALLAH nak lihat sejauh mana sabar kita.

Iklan

“Saya sendiri sudah mula berniaga sejak lapan, sembilan tahun lalu, tapi hanya dua tahun ini baru merasai kemanisan,” ujar Shuib yang merancang untuk menembusi pasaran Asia selepas ini.

Kembali aktif

Ditebak mengenai penglibatan semula menjadi penyampai radio sebagai signal untuk kembali aktif dalam industri seni, selebriti berusia 38 tahun itu tidak menafikan.

“Saya rasa sudah lama sangat ‘tidur’ dan saya sendiri tertanya-tanya bila mahu kembali aktif.

“Walaupun sibuk uruskan perniagaan, tetapi jadual seni saya kosong. Jadi saya kena cari sesuatu untuk buat saya bangun balik dan kerjaya sebagai penyampai ini adalah permulaannya,” jelas Shuib.

Iklan
SHUIB
Biarpun kembali ke konti radio, Shuib bersyukur kerana masih punyai masa untuk menguruskan bisnes dan anak-anak.

Tambahnya lagi, dia juga rasa terharu dengan sokongan Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin, yang sudah dua kali menawarkan tugas sebagai penyampai dan sudi untuk berkompromi dengan kerjanya.

“Bila saya beritahu yang saya mungkin akan sibuk dengan bisnes, DJ Lin boleh menerima, saya rasa sukar untuk menolak lagi.

“Lagipun tugas saya hanya pada waktu pagi, tengah hari boleh beri tumpuan pada perniagaan dan petang boleh ambil anak sekolah serta bersama anak-anak.

“Saya suka dengan susunan jadual sekarang sebab saya jenis yang suka hidup dalam sistem atau disiplin. Insya-ALLAH saya akan beri yang terbaik untuk apa sahaja bidang yang saya ceburi,” tegasnya.