BIARPUN sibuk dengan aktiviti seni dan bekerja tidak kira waktu, penyanyi yang kini semakin aktif dalam dunia lakonan, Wani Kayrie, tidak pernah mengabaikan pengajiannya.

Malah pemilik nama sebenar Syazwani Maisarah Abdullah, 22, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Undang-Undang dan Perdagangan (Kepujian) di sebuah universiti swasta itu sentiasa memastikan dirinya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Simpan sini biar jadi kenangan bila dah graduate nanti. Sememangnya tidak mudah untuk belajar sambil bekerja. Lagi-lagi saya pelajar sepenuh masa di MSU Malaysia dan kena seimbangkan antara pelajaran dan kerjaya.

“Orang hanya nampak saya post pasal kerja (di media sosial) dan seronok jalan-jalan semuakan. Hakikatnya, inilah orang yang berjaga macam burung hantu sampai pagi.

“Siapkan tugasan dekat set, masuk kelas online dekat studio dan macam-macam lagi,” ujar Wani menerusi satu hantaran di laman Instagramnya pada Ahad.

Menerusi keputusan yang dikongsi itu, penyanyi Aksara Cinta itu memperoleh markah A dalam empat mata pelajaran, dua B dan hanya satu subjek C.

“Alhamdulillah ya ALLAH atas keputusan ini. Walaupun finance C (memang dari sekolah tak ada bakat ya kira-kira), sampailah sekarang, saya bangga dengan diri sendiri untuk subjek law core.

Iklan

“Siang kerja, selepas itu sambung tugasan sampai pagi. Selepas itu esok bangun pagi shooting. The struggles. But, trust the process.

“Tahniah semua yang berjaya mengharungi hari-hari jatuh dan berjaya bangkit tanpa ada orang tahu liku-liku dan dugaan kita. Apapun, percaya diri sendiri dan jangan pernah putus asa dalam mencapai apa yang anda inginkan,” katanya.

Iklan

Sebelum ini Wani pernah berkongsi keputusannya yang turut cemerlang pada semester lalu. Malah sejak sekolah lagi, bekas finalis Big Stage musim pertama itu sentisa cemerlang dalam pelajaran dan memperoleh 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

(FOTO: INSTAGRAM WANI KAYRIE)