SUSULAN perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, pihak Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati (HYD) yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang, berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula 7 Jun (Isnin).

Drama HYD mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut.

Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

HYD yang diarahkan oleh Riza Baharuddin dan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar menyaksikan gandingan pelakon seperti Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud dan Sahronizam Noor.

Sebarang keputusan terkini berkenaan sambungan drama HYD akan diumumkan kemudian.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, keputusan tersebut dibuat demi keselamatan bersama dan langkah waspada untuk mengelakkan sebarang risiko serta masalah jangka panjang.

“Kami akur dengan perlaksanaan sekatan skala penuh yang dikeluarkan oleh kerajaan. Melihat kepada peningkatan kadar kes aktif semasa yang kini berada di peringkat kritikal, keputusan tersebut tidak mengejutkan dan sudah dijangka awal.

“Selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama HYD berkuatkuasa serta merta ini juga merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kami untuk memutuskan rantaian Covid-19’.

Iklan

“Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik,” katanya.

Sementara itu drama bersiri terbaharu, Derita Untuk Bahagia akan mengambil alih slot tersebut dan bakal ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

Iklan

Naskhah 30 episod terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. itu mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta.

Derita Untuk Bahagia menampilkan barisan pelakon seperti Azar Azmi, Hafreez Adam, Amar Baharin, Marisa Yasmin, Dayang Areeda, Jasmin Hamid, Dian P Ramlee, Riezman Khuzaimi, Datuk Hilal Azman dan Zarina Zainuddin.

Naskhah arahan arahan Ejump Mohd itu bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 7 Jun di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.